4 syarikat Malaysia sedia jawab dakwaan punca jerebu

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Indonesia menyalahkan ladang anak syarikat kepada syarikat Malaysia berhubung kebakaran hutan di beberapa bahagian negara republik itu mengundang kebimbangan Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Bagaimanapun, empat syarikat dinamakan kerajaan Indonesia sebagai punca kebakaran hutan negara itu iaitu IOI Corporation, Sime Darby Bhd, TDM Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd bersedia menjawab dakwaan dilontarkan.

Teresa berkata, tuduhan ke atas empat syarikat Malaysia yang dinamakan kerajaan Indonesia sangat serius dan menyebabkan imej syarikat berkenaan terjejas bukan sahaja di negara itu, bahkan di Malaysia sendiri.

Menurutnya, daripada rekod kementerian mendapati empat syarikat Malaysia dinamakan adalah antara syarikat penanaman kelapa sawit paling dihormati.

"Mereka mengamalkan amalan penanaman lestari yang disahkan melalui Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), Skim Pensijilan Kelestarian & Karbon Antarabangsa (ISCC) atau gabungan sistem pensijilan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Saya tidak dapat memberi ulasan kesahihan dakwaan itu sehingga mendapat akses kepada kertas siasatan dikendalikan kerajaan Indonesia.

"Namun saya sudah menghubungi empat syarikat berkenaan yang memaklumkan mereka komited menjawab dakwaan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teresa yang kini dalam sesi kunjungan rasmi di Vietnam berkata, tindakan sedemikian juga tidak masuk akal lantaran kebimbangan tuduhan itu akan digunakan aktivis anti kelapa sawit yang boleh menyebabkan status Indonesia dan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit utama terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga akan berbincang dengan rakan sejawat saya dari Indonesia dan berharap dapat menyelesaikan masalah ini dengan cepat dan mesra," katanya.

Terdahulu kerajaan Indonesia menuding jari kepada empat syarikat Malaysia berhubung kebakaran hutan di negara mereka sehingga menyebabkan masalah jerebu serius.

Jerebu yang disebabkan kebakaran hutan di Pulau Sumatera dan Kalimantan di Indonesia kini meliputi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Singapura.