Tempat pengebumian Mugabe diumum Sabtu

Robert Mugabe
Robert Mugabe
A
A
A

HARARE - Lokasi pengebumian jasad bekas Presiden Robert Mugabe yang meninggal dunia Jumaat lalu, akan diumumkan hujung minggu ini, lapor agensi berita Xinhua memetik seorang jurucakap keluarga.

Masih tidak jelas di mana Mugabe akan dikebumikan dan semasa hayatnya, beliau dikatakan mahu disemadikan di kediamannya di pinggir bandar Zvimba, bukan di Heroes Acre tempat wira dan wirawati dikebumikan.

Mugabe, 95, meninggal dunia pada Jumaat lepas di Singapura di mana beliau mendapat rawatan perubatan dan bagi mengenang jasanya, kerajaan mengisytiharkan beliau sebagai wira negara.

Jurucakap keluarga Walter Chidhakwa berkata, keputusan mengenai lokasi pengebumian akan diputuskan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Emmerson Mnangagwa dan isteri Mugabe, Grace bagi membincangkan perkara itu.

Jasad Mugabe tiba di negara itu pada Rabu dan ditempatkan di rumahnya di Harare.

ARTIKEL BERKAITAN: Mugabe disemadikan di kampung halaman minggu depan

Menurut program kerajaan, upacara pengebumian akan diadakan pada Khamis dan Jumaat di Stadium Bola Sepak Rufaro di Harare untuk orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi upacara di Stadium Nasional pada Sabtu untuk dif-dif kehormat, pegawai asing dan diplomatik.

Sekurang-kurangnya, 11 ketua negara dan lapan bekas presiden di rantau Afrika telah mengesahkan kehadiran mereka.

Bekas presiden itu, yang merupakan seorang penyokong kuat pemerkasaan golongan kulit hitam menerima pujian untuk peranan penting yang dimainkan beliau dalam usaha membawa kemerdekaan kepada Zimbabwe dan antara lain memperjuang program pembaharuan tanah.

Sebagai mengiktiraf pengaruhnya yang luas di benua itu, Kenya telah mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari sambil menyifatkan Mugabe sebagai ikon Afrika dan jaguh Pan-Afrikanisme.

Di Zimbabwe, hari berkabung negara telah diisytiharkan akan berlangsung sehingga jasad beliau dikebumikan. - Bernama