Jentera PKNS FC dituntut kekal fokus

PKNS berjaya menewaskan Negeri Sembilan pada aksi pusingan pertama kumpulan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Ogos lalu. - Foto FB PKNS FC
PKNS berjaya menewaskan Negeri Sembilan pada aksi pusingan pertama kumpulan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Ogos lalu. - Foto FB PKNS FC
A
A
A

KESEBELASAN PKNS FC perlu kekal fokus sehingga wisel penamat dalam usaha memburu tiga mata berharga ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan bagi aksi Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.

Pengurusnya Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, kesemua pemain perlu beraksi bersungguh-sungguh demi merealisasikan buruan tiga mata berkenaan tambahan pula beraksi di gelanggang sendiri.

Malah menurutnya, skuad Semut Merah itu tidak boleh lagi leka khususnya pada penghujung perlawanan bagi mengelakkan gawang dibocori lawan.

“Kita mohon supaya pemain tidak leka dengan permainan, selalunya kita dapati kelemahan kelekaan dalam dua tiga saat boleh sebabkan kekalahan. Bila pasukan kita terleka, kita ter’kena,’ last minute pun kena.

“Apa pun kita akan main cara kita dan untuk dua aksi terakhir kumpulan kali ini kita akan bermain di gelanggang sendiri. Jadi perlu ambil sepenuhnya kesempatan demi layak ke suku akhir Piala Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar.

Moral pemain PKNS FC berada pada tahap tinggi menjelang kunjungan Negeri Sembilan di Shah Alam malam ini. - Foto FB PKNS FC
Moral pemain PKNS FC berada pada tahap tinggi menjelang kunjungan Negeri Sembilan di Shah Alam malam ini. - Foto FB PKNS FC

Untuk rekod PKNS FC kini berada pada kedudukan ketiga Kumpulan A dengan empat mata hasil satu kemenangan, seri sekali dan tewas dua kali daripada empat perlawanan setakat ini.

Sementara itu, Mahfizul Rusydin berkata, persiapan pasukan berjalan lancar setakat ini dan kesempatan sempena aksi kelayakan Piala Dunia baru-baru ini dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak pengurusan dan kejurulatihan bagi mempersiapkan Semut Merah untuk mengharungi dua aksi terakhir peringkat kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dua perlawanan terakhir ini adalah penentu bagi kemaraan PKNS FC ke saingan suku akhir Piala Malaysia.

“Persiapan pasukan berjalan lancar dan ketika minggu ketika tugasan kelayakan Piala Dunia baru-baru ini kita manfaatkan dengan persiapan pasukan dan kenal pasti kelemahan-kelemahan yang ada.

“Kita dapati prestasi pasukan, moral pemain sangat tinggi ketika ini.

“Kita juga bukan menidakkan peluang Negeri Sembilan dan ada beberapa pemain yang perlu kita awasi agar peluang kita untuk meraih tiga mata pada perlawanan ini tidak terjejas,” katanya.