Perancis sekat perkembangan mata wang kripto Facebook

A
A

PARIS - Perancis memberi amaran pihaknya akan menyekat perkembangan mata wang kripto Facebook di Eropah kerana ia mengancam 'kedaulatan kewangan' kerajaan.

"Saya mahu menjelaskan, dalam keadaan kini kita tidak boleh membenarkan mata wang Libra di bumi Eropah," kata Menteri Ekonomi dan Kewangan, Bruno Le Maire di pembukaan sidang berkaitan mata wang kripto, hari ini.

Pihak berkuasa Perancis lantang memberi amaran tentang bahaya mata wang Libra sejak pelan untuk mata wang maya itu diumumkan Facebook pada Jun lalu.

"Kedaulatan kewangan negara menjadi taruhan susulan kemungkinan penswastaan wang oleh seorang pemain tunggal dengan lebih 2 bilion pengguna di dunia," kata Le Maire.

Satu kebimbangan ialah kemungkinan mata wang Libra menyebabkan pengguna meninggalkan mata wang negara ketika berlaku krisis sekali gus menyulitkan usaha kerajaan mentadbir ekonomi negara.

Dijangka dilancarkan awal tahun 2020, Facebook berjanji mata wang Libra akan memberi manfaat kepada pengguna media sosial itu dan mengurangkan kos transaksi, serta membawa lebih banyak perkhidmatan kepada orang ramai tanpa akses kepada sistem perbankan.

Namun kebimbangan timbul mengenai bagaimana mata wang kripto itu akan diuruskan terutama bagaimana ia akan mematuhi peraturan berhubung memerangi pengubahan wang haram dan membiayai keganasan. - AFP