Semua sekolah di Selangor diarah tutup jika IPU lebih 200

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Semua sekolah, tadika dan taska diarah tutup serta-merta jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 200 selepas mendapat pengesahan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, kerajaan sudah membuat beberapa ketetapan berhubung isu jerebu termasuk menggunapakai Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

"Kerajaan negeri bersetuju untuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat Daerah dan Negeri diaktifkan apabila Indeks IPU mencatatkan bacaan antara 151-200 (melebihi 24 jam) iaitu tahap tidak sihat selain membekalkan penutup muka kepada orang awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan negeri pada masa sama katanya akan melaksanakan pembenihan awan di kawasan terbabit.

Loy Sian turut menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak melakukan pembakaran terbuka ketika musim jerebu.

"Orang ramai juga dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar rumah dan mengikuti makluman IPU semasa yang boleh dimuat turun melalui aplikasi MyIPU (Mobile Indeks Pencemar Udara) dari Google Play atau App Store secara percuma di telefon pintar atau melalui website JAS iaitu www.doe.gov.my atau apims.doe.gov.my," katanya.

Bacaan IPU Baik (di bawah 50), Sederhana (IPU antara 51 hingga 100), Tidak Sihat (IPU antara 101 hingga 200), Sangat Tidak Sihat (IPU 201 hingga 300) dan Berbahaya (IPU melebihi 300).

Orang awam yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Ibu Pejabat JAS Malaysia di talian 03-8871 2000 atau menghubungi Bilik Kawalan JAS Selangor di talian 03-55197233.

ARTIKEL BERKAITAN: 29 buah sekolah di Selangor ditutup esok

Artikel Berkaitan: