29 buah sekolah di Selangor ditutup esok

A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 29 buah sekolah di Klang dan Hulu Langat, Selangor akan ditutup esok susulan jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatatkan menunjukkan kualiti tidak sihat.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia melibatkan 24 buah sekolah di Klang iaitu enam sekolah menengah, 12 sekolah kebangsaan (SK) dan masing-masing tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKC).

Katanya, keseluruhan pelajar dan murid di sekolah berkenaan yang terlibat adalah seramai 38,217.

"Di Hulu Langat pula sebanyak lima buah sekolah ditutup membabitkan sebuah sekolah menengah dan empat rendah (SK) melibatkan seramai 7,048 pelajar dan murid," katanya.

Menurut kenyataan itu, penutupan sekolah berkenaan bermula dengan lima buah sekolah di Klang pada hari ini melibatkan sebuah sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah membabitkan seramai 10,100 pelajar dan murid.

Pentadbiran sekolah juga diingatkan agar mengambil tindakan menutup sekolah serta-merta jika mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, sehingga keadaan kembali pulih selaras dengan surat siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 1/2019.

Sementara itu, sebanyak 16 buah sekolah di Rompin, Pahang turut ditutup hari ini akibat jerebu.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan yang dikeluarkannya berkata, sekolah yang ditutup melibatkan 15 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah.

Katanya, sekolah terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Puteri, SK Tanjung Gemok, SK Pontian, SK Kampong Kolam, SK Chenderawasih, SK Leban Chondong dan SK Rompin.

Turut ditutup SK Sungai Puteri, SK Kedaik, SK Sarang Tiong, SK Pianggu, SK Janglau, SK (Felda) Selendang 1, SK (LKTP) Selendang 4, SK (LKTP) Keratong 8 dan SJKC Rompin yang keseluruhannya melibatkan seramai 5,505 pelajar dan murid.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia