PM Britain tetap mahu Brexit tanpa perjanjian

Brexit tanpa perjanjian akan menyebabkan harga makanan meningkat dan kekurangan bekalan ubat-ubatan.
Brexit tanpa perjanjian akan menyebabkan harga makanan meningkat dan kekurangan bekalan ubat-ubatan.
A
A
A

LONDON - Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hari ini menegaskan negara itu bersedia dengan Brexit tanpa perjanjian pada 31 Oktober depan walaupun rancangan itu ditentang majoriti ahli Parlimen.

Menurut bekas Datuk Bandar London itu, kerajaan di bawah pimpinan beliau telah melakukan persediaan secara menyeluruh untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) tanpa perjanjian selepas pendedahan dokumen rancangan luar jangka digelar Operation Yellowhammer yang menyatakan kesan besar daripada langkah tersebut.

Dokumen itu menjelaskan rusuhan jalanan, harga makanan meningkat dan kekurangan bekalan ubat-ubatan adalah risiko sebenar jika Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) tanpa perjanjian.

Butiran dokumen itu diterbitkan selepas ahli Parlimen mengundi untuk mendedahkan dokumen tersebut.

Ia menggariskan siri andaian kes terburuk yang munasabah berhubung impak Brexit tanpa perjanjian pada 31 Oktober depan.

Pemimpin parti pembangkang, Parti Buruh, Jeremy Corbyn berkata, dokumen itu mengesahkan Johnson 'bersedia untuk menghukum golongan tidak berkemampuan'.

Dokumen setebal enam muka surat bertarikh 2 Ogos itu pernah dibocorkan Sunday Times pada bulan lalu yang turut memberi amaran tentang gangguan di Dover dan lintasan terusan selama tiga bulan selain peningkatan risiko gangguan awam serta kekurangan beberapa bekalan makanan segar jika Brexit tanpa perjanjian diteruskan.

Sebelum ini, Johnson pernah memaklumkan beliau mahu berunding semula tentang perjanjian yang dicapai pendahulunya, Theresa May bersama EU pada tahun lalu yang telah ditolak sebanyak tiga kali oleh Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pemimpin Eropah mendakwa beliau tidak menawarkan sebarang alternatif berdaya maju. - Agensi