Pembenihan awan di Sarawak hari ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memulakan operasi pembenihan awan (OPA) di kawasan barat Sarawak hari ini bagi mengurangkan jerebu di kawasan tersebut.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, operasi tersebut dilakukan di beberapa kawasan termasuk Sri Aman, Kuching dan Samarahan dengan kerjasama pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Pegawai dari MetMalaysia dan TUDM berlepas kira-kira 12 tengah hari dari Labuan ke kawasan barat Sarawak menggunakan pesawat C130 milik TUDM bagi memulakan operasi ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, ketika program temu bual terbitan Bernama Radio pagi tadi, Jailan berkata, beberapa faktor termasuk keadaan atmosfera, pembentukan angin dan tiupan angin diambil kira sebelum OPA dapat dilakukan bagi memastikan operasi itu berjaya.

"Sebenarnya, operasi ini bukan bermakna kita buat hujan tetapi kita mempercepatkan hujan berlaku. Kalau nak berjaya (operasi), atmosfera kena tidak stabil, kalau stabil tak ada pembentukan awan dan operasi tidak boleh dilakukan.

"Seterusnya, kelembapan udara dalam atmosfera juga perlu ada dan keadaan awan mestilah sesuai untuk kita benihkan. Kalau tak ada awan, kita tak boleh buat operasi ini dan arah tiupan angin juga perlu dilihat.

"Kalau angin bertiup terlalu kencang, mungkin hujan akan jatuh ke tempat lain,” katanya.

Jailan berkata, jerebu dijangka berakhir awal bulan hadapan iaitu ketika musim peralihan monsun dan selepas monsun barat daya berakhir.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini, walaupun operasi pembenihan awan dilakukan, jerebu tetap akan kembali berikutan tiupan angin dari barat daya. Selagi angin barat daya masih ada dan kebakaran masih berlaku, jerebu akan tetap ada kerana angin itu yang bawa asap ke kawasan kita.

"Bagaimanapun, pembenihan awan ini sedikit sebanyak mengurangkan jerebu yang mana kita jangka ia bakal berakhir hujung bulan ini atau awal bulan hadapan kerana ketika peralihan monsun berlaku, biasanya kawasan pantai barat semenanjung dan Sarawak akan menerima hujan yang lebih banyak,” katanya dan menambah OPA tidak dapat dijalankan di kawasan semenanjung berikutan faktor tidak sesuai.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), 16 kawasan dilaporkan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sehingga 1 tengah hari tadi, dengan Johan Setia, Selangor mencatat bacaan 208 iaitu sangat tidak sihat.