Nyawa terkorban selamatkan kembar

Mayat ditemui anggota bomba.
Mayat ditemui anggota bomba.
A
A
A

KULIM - "Dia kata hari ini nak mai 'last' sebab nanti dah buka sekolah tak boleh dah," kata bapa kepada mangsa lemas ketika memukat ikan di sebuah parit berhampiran Masjid Kilang lama, di sini hari ini.

Muhamad Zaki Abd Majid, 49, berkata, anaknya Muhammad Firdaus, 13, lemas apabila cuba menyelamatkan kembarnya Muhammad Nur Fitri, 13, yang tergelincir dari batu.

"Waktu kejadian saya memukat di seberang, bila tengok anak lemas saya terus redah parit tu. Air dalam dan tanahnya berselut.

"Bila masuk ke kawasan makin dalam anak dah hilang. Saya juga hampir lemas," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah mayat Hospital Kulim, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, ibu mangsa Norsiah Othman, 48, juga cuba membantu menyelamatkan anaknya namun gagal.

Muhamad Zaki berkata, mereka empat beranak selalu memukat ikan di situ dan ia juga sumber rezeki keluarga selama ini.

"Saya kerja kampung saja, isteri tak bekerja. Ikan-ikan di situ sumber rezeki kami untuk makan anak-beranak," katanya.

Terdahulu, mayat mangsa ditemui pasukan Bomba Kulim Hi- Tech pada 11.55 pagi selepas memulakan pencarian pada 11.41 pagi.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 157223128810 atas nama Muhamad Zaki Abd Majid.