Lelaki dipercayai ditarik ombak ketika memukat

Pasukan carilamat yang diaktifkan Maritim bagi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas turut dibantu orang awam.
Pasukan carilamat yang diaktifkan Maritim bagi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas turut dibantu orang awam.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat bersama dua rakan dan empat kanak-kanak di Pantai Telong, Bachok malam Jumaat.

Lelaki berkenaan, Mohamad Azwan Mohd Azman, 28, dipercayai ditarik ombak ketika sedang melakukan aktiviti berkenaan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, mangsa yang berasal dari Labok, Machang, kali terakhir dilihat memakai baju serta seluar berwarna hitam.

"Berdasarkan aduan yang diterima pada jam 8.20 malam, Op Carilamat diaktifkan pada 8.45 malam dengan menggerakkan Bot Perkasa 32 ke lokasi," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Beliau memberitahu, Maritim turut menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat di pesisir Pantai Telong.

Katanya Carilamat disertai 35 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia, bomba, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Jelas beliau orang awam juga membantu pencarian mangsa di sekitar pesisir pantai.