Adzli (tengah) menunjukkan dadah dirampas yang dianggarkan seberat 1.2 kilogram dan bernilai kira-kira RM36,690.
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang juruelektrik yang baru dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah lima bulan lalu dicekup sekali lagi bersama 1.2 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM36,690, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan dalam serbuan dijalankan di kuarters ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Division.

Menurutnya, hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah termasuk di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan pernah dikenakan perintah buang daerah.

"Hasil siasatan mendapati suspek baru sahaja keluar dari Penjara Pokok Sena lima bulan lalu dan aktif mengedar dadah sejak tiga bulan kebelakangan ini," katanya kepada media hari ini.

Menurut Adzli, ketika serbuan, suspek sedang leka membungkus dadah di sebalik rumah yang terletak agak jauh dari kawasan perumahan dan telah lama ditinggalkan.

"Saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis morfin.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 16 September bagi membantu siasatan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Sementara itu, Adzli berkata, sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 1,042 kes dadah dilaporkan manakala 1,310 tangkapan dibuat sejak awal tahun ini.

Bagi kes membabitkan Seksyen 39B ADB, sebanyak 93 kes dicatatkan dan 153 tangkapan dibuat ke atas suspek berusia 18 tahun ke atas.

"Dalam kes ini, jumlah dadah dirampas bernilai RM9.7 juta," katanya.

Susulan itu, beliau menggesa orang ramai membantu menyampaikan maklumat dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di Kuala Muda.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia