Empat lelaki ditahan kes samun di Kluang

PDRM
PDRM
A
A
A

JOHOR BAHRU- Polis menahan empat lelaki tempatan selepas disyaki terlibat dalam kes samun di sebuah kedai di Taman Makmur, dekat Kluang, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata kesemua mereka yang berumur antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan selepas polis bertindak atas laporan yang dibuat pemilik kedai berkenaan, hari sama.

“Pengadu (pemilik kedai) mendakwa didatangi seorang lelaki kira-kira 2 pagi, Khamis lepas, di kedainya lalu memukulnya dengan menggunakan tangan dan topi keledar sebelum melarikan seunit telefon bimbit serta kunci kereta miliknya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Abduh berkata siasatan awal mendapati pengadu mengenali lelaki itu sejak setahun lepas dan bertindak atas maklumat tersebut, polis berjaya menahan lelaki itu dan tiga lagi lelaki lain di tiga lokasi berasingan, tidak lama kemudian.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki tersebut dipercayai bersubahat dengan lelaki yang menyerang pemilik kedai itu kerana pemeriksaan mendapati mereka memiliki barang yang disamun.

Katanya ujian saringan air kencing mendapati dua daripada kesemua yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka memiliki rekod jenayah.

“Hasil penahahan, polis merampas satu topi keledar berwarna hitam dan merah serta sebuah telefon bimbit jenama Oppo yang kedua-duanya dianggar bernilai RM1,500,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun dan kesemua mereka kini direman mulai Jumaat lepas sehingga Jumaat depan untuk siasatan selanjutnya.- Bernama

Artikel Berkaitan: