Tingkatkan penghayatan Hari Malaysia

A
A
A

KALAU dibandingkan antara Hari Merdeka dan Hari Malaysia, sambutannya bagai langit dan bumi. Hari Merdeka selalunya diraikan dengan segala kemeriahan sedangkan Hari Malaysia pula sering malap dan lesu.

Malah kalau bukan disebabkan Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak yang memutuskan untuk menjadikan Hari Malaysia sebagai cuti umum pada 19 Oktober 2009, barangkali sampai sekaranglah ia terus sepi dan terabai.Itupun, setelah hampir 10 tahun sambutan Hari Malaysia diadakan, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu dan peka tentang tujuan sebenar ianya diraikan.

Sampai sekarang masih ada lagi yang tidak dapat membezakan antara Hari Merdeka dan Hari Malaysia, begitulah realitinya.Selalunya Hari Merdeka sinonim dengan lagu ikonik Tanggal 31 Ogos nyanyian Allahyarham Sudirman.

Masyhurnya lagu itu sampai semua lapisan kaum di Malaysia menghafalnya, baik golongan kanak-kanak sehinggalah dewasa. Tetapi sebaliknya pula bagi Hari Malaysia, ada lagu untuknya tetapi tidak sepopular dan diangkat sepertimana lagu Sudirman itu.

Penulis yakin ramai yang tidak tahu dan tidak pernah mendengar lagu berjudul Malaysia For Ever yang menjadi lagu rasmi Hari Malaysia. Ini kerana, berbanding lagu Tanggal 31 Ogos yang dicipta tahun 1982, lagu Malaysia For Ever ini hanya dimainkan ketika sambutan penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Lagu tersebut dicipta oleh seorang komposer dan pemuzik berbangsa Kanada bernama Bobby Gimby.

Sepertimana lagu-lagu patriotik yang lainnya, lagu karangan Gimby itu menekankan aspek-aspek integrasi, harmoni dan konsensus dalam bait-bait liriknya, selaras dengan matlamat asas pembentukan Persekutuan Malaysia waktu itu.

Beliau mengarang lagu tersebut setelah diminta oleh Tunku Abdul Rahman dalam pertemuan mereka di Singapura.

Lagu itu dicipta bertujuan untuk disiarkan pada hari pembentukan Malaysia dan menjadi begitu popular sehinggalah penyingkiran Singapura dari Persekutuan Malaysia 1965. Selepas daripada itu, lagu ini tidak lagi dimainkan dan hanya menjadi kenang-kenangan dan memori sahaja.

Artikel Berkaitan:

Kalau difikirkan, Hari Malaysia ini juga nyaris menerima nasib serupa dengan lagu Malaysia For Ever itu. Bayangkanlah kalau tiada cuti umum seperti mana hari ini untuk meraikannya, nescaya tarikh bersejarah 16 September 1963 itu akan terus lenyap daripada ingatan selamanya.

Seperti kata Sejarahwan Negara, mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, sungguh malang pembelajaran sejarah di negara ini sampaikan sejarah terpenting negara seperti penubuhan Malaysia inipun tidak ditulis secara terperinci dalam silibus Sejarah di sekolah.

Sebab itulah barangkali, penghayatan Hari Malaysia dalam kalangan rakyat Malaysia sangat menyedihkan. Berapa ramai daripada kita yang faham tentang sejarah dan kepentingan penubuhan Malaysia?

Kenalkah kita dengan tokoh-tokoh bernama Tun Jugah Barieng dan Tun Datu Mustapha? Adakah dengan menyambut Hari Malaysia sahaja maka kita sudahpun berjaya membentuk integrasi dan asimilasi sebagai orang Malaysia yang sebenar?

Sebab itu penghayatan Hari Malaysia harus sentiasa ditingkatkan dan disebarkan tanpa perlu menunggu detik 16 September sahaja.

Peranan ini harus dimainkan oleh semua pihak, agar maksud sambutan Hari Malaysia benar-benar sampai dan dihayati oleh semua warga.

Di samping kita meraikan Hari Malaysia dengan pelbagai pengisian, semua pihak harus memastikan agar pengisian yang dibuat membawa dan mengandungi makna Hari Malaysia yang berteraskan kepada elemen integrasi, harmoni dan konsensus dalam pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara berpersekutuan.

Jangan jadikan sambutan Hari Malaysia ini terhad kepada Sabah dan Sarawak sahaja. Hari Malaysia sepatutnya mencerminkan Malaysia secara menyeluruh. Sebab itu ada keperluan untuk menyusun dan perbetulkan semua naratif dan penulisan sejarah Malaysia agar lebih inklusif dengan mengambil kira perspektif orang Sabah dan Sarawak.

Ini sebagai satu kaedah supaya Hari Malaysia tidak diterangkan menerusi perspektif orang Malaya sahaja.Sudah tiba masanya Hari Malaysia diperjelas dan diperbetulkan dengan fakta yang sebenar.

Harapannya agar dengan usaha itu, Hari Malaysia akan benar-benar difahami dan dihayati oleh semua pihak yang akhirnya menjayakan proses integrasi nasional dan membentuk negara bangsa Malaysia yang makmur dan berjaya.