KL Pink October 2019 bukan sekadar kempen kesedaran kanser payudara

A
A

MENYEDARI kepentingan memberi kesedaran tentang penyakit kanser payudara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah menganjurkan KL Pink October.

Program yang telah dimulakan pada tahun 2016 itu merupakan kempen kesedaran kanser payudara peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan jenama HKL Pink October.

PIHAK penganjur menyasarkan seramai kira-kira 2,000 peserta yang terbabit pada KL Pink October yang diadakan pada bulan depan.
PIHAK penganjur menyasarkan seramai kira-kira 2,000 peserta yang terbabit pada KL Pink October yang diadakan pada bulan depan.

Pada tahun ini, pihak penganjur menyasarkan seramai 2,000 peserta yang akan menyertai program yang akan diadakan pada bulan Oktober nanti.

Kempen itu dibahagikan kepada dua segmen iaitu KL Pink Project dan KL Pink October.

KL Pink Project iaitu kempen turun padang di Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam, melibatkan 10 lokasi di sembilan kawasan Parlimen.

Pengisian kempen yang dianjurkan pada tahun ini tidak terlalu menjurus kepada kanser payudara. Kempen turut memberi penekanan tentang penjagaan kesihatan, kecergasan, kebajikan, saringan dan kesedaran kanser payudara.

Segmen KL Pink October pula merupakan program menjana dana bagi mengumpulkan sumber kewangan untuk membiayai kempen segmen pertama.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap Ketua Jabatan Radioterapi, HKL, Dr Ros Suzanna Ahmad Bustaman, kempen tersebut bukan sahaja memfokuskan golongan wanita, tetapi ingin menarik setiap anggota masyarakat.

“Kami mahu masyarakat bersama membantu memberi sumbangan dan sokongan agar penyakit kanser dapat difahami, diberikan pengesanan awal serta rawatan sebaiknya,” kata Dr Ros pada majlis pelancaran kempen kesedaran kanser payudara peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di HKL baru-baru ini.

Selain klinik saringan, aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan ialah pameran kanser payudara, pemeriksaan kesihatan, klinik berhenti merokok, senam sihat, pameran kesihatan awam, pameran bantuan asas kecemasan serta banyak lagi aktiviti.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia