Sembur air di kawasan kuari: Aminuddin

Aminuddin (kanan) pada Sidang media di Wisma Negeri hari ini.
Aminuddin (kanan) pada Sidang media di Wisma Negeri hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menasihatkan kepada semua pengusaha kuari di sekitar Nilai melakukan semburan air bagi mengurangkan masalah jerebu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tindakan tersebut penting bagi mengekang pencemaran habuk semakin teruk berikutan jerebu yang kini melanda negeri ini.

Menurutnya, terdapat 11 kuari yang bergiat aktif di sekitar Nilai dan Mantin.

"Kerja-kerja kuari antara penyumbang kepada pencemaran udara, jadi saya menasihatkan kepada semua pengusaha kuari agar melakukan semburan air bagi memastikan habuk tidak terlepas dengan jumlah yang banyak.

"Begitu juga dengan industri kilang di Nilai, mereka perlu memantau pengeluaran asap kilang yang dilepaskan dengan sempurna agar tidak memburukkan lagi keadaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Negeri dekat sini hari ini.

Hadir sama Exco Belia dan Sukan, Mohamad Taufik Abd Ghani.

Tambahnya, beliau telah meminta Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan untuk mengeluarkan notis kepada semua pengusaha kuari dan pengilang agar mematuhi langkah-langkah sepatutnya bagi mengelakkan pencemaran udara berikutan indeks pencemaran udara (IPU) di negeri ini masih berada di tahap tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aminuddin juga memberitahu aktiviti pelancongan di Port Dickson tidak terjejas biarpun daerah itu mencatatkan IPU tidak sihat melebihi 100.

Katanya, Port Dickson adalah kawasan berangin dan berada di tepi pantai dan pihaknya berharap pencemaran udara itu tidak akan berlarutan sehingga menjejaskan industri pelancongan di situ.