Ysuku diubah suai: Shuib Sepahtu kesal ada pihak kaitkan artis

Instagram Shuib Sepahtu
A
A

SELEBRITI terkemuka tanah air, Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu, 34, kesal apabila ada pihak mengaitkan nama-nama artis tertentu terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian motosikal terutamanya setelah operasi motosikal Y15ZR atau 'Ysuku' oleh polis semalam.

Shuib berkata, pihaknya juga kesal kerana perkara berkenaan turut dipaparkan di media-media sosial selain melibatkan pertaruhan.

"Tengah kecoh pasal operasi Y15 dan dipetik pula nama artis terlibat dalam pengubahsuaian, ya mungkin benda salah, tapi tak faham juga kenapa ada yang nak anjurkan di lebuh raya, siap bertaruh dan letak di media-media sosial. Apa ni?

"Kita orang (artis) tak tunjuk tau benda-benda begitu dan tak buat pun. Kenapa perlu dipertontonkan dan benda itu memang tak bagus pun siap ada taruh duit lagi. Sebenarnya main motor nak kena tunjuk macam tu ya?" katanya menerusi Facebook hari ini.

Semalam, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain memberikan amaran agar penunggang motosikal terutama jenis Yamaha 15ZR atau 'Ysuku' tidak mengubahsuai motosikal tanpa kebenaran kerana menyalahi undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis beri amaran kepada geng basikal lajak, pemilik 'Ysuku'

Katanya, tindakan sita akan dikenakan terhadap pemilik motosikal yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.

Sementara itu Shuib menegaskan penglibatan dirinya serta rakan-rakan artis lain adalah untuk buat aktiviti bermotosikal (ride) selalu.

Katanya, selain aktiviti sedemikian ia turut memberikan ruang untuk mereka berkumpul beramai-ramai.

"Kita nak macam tu. Tapi bila korang buat ada race apa semua, benda jadi tak oklah. Better hari tu Acey (Kumpulan Bocey) tunjuk main, tapi main kat 'drag' tempat yang memang ada pemantauan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia