Empat kali sertai Piala Seri Endon akhirnya jadi juara

Mohamad Shukri Che Ya yang memenangi Pertandingan Reka Bentuk Batik Kategori Fesyen, Piala Seri Endon 2019 yang membawa tema Ikat Pua. - FOTO ROSLI TALIB
Mohamad Shukri Che Ya yang memenangi Pertandingan Reka Bentuk Batik Kategori Fesyen, Piala Seri Endon 2019 yang membawa tema Ikat Pua. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Percubaan empat kali tanpa putus asa membuahkan hasil buat Mohamad Shukri Che Ya, 29, apabila rekaannya menjuarai Piala Seri Endon 2019 bagi kategori fesyen.

Menurut pensyarah fesyen di kolej tempatan itu, beliau menggunakan pengalaman lalu dalam pertandingan tersebut untuk menambah baik rekaannya sehingga berhasil menjadi juara.

"Alhamdulillah saya bersyukur kepada ALLAH kerana ini tahun keempat saya menyertai dan kali keempat juga saya ke final. Saya tunggu lama untuk mencapai hasrat ini.

"Setiap tahun saya belajar apa yang juri mahukan. Akhirnya tahun ini tuah kemenangan menyebelahi saya," katanya kepada media, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, rekaannya mengetengahkan tema Ikat Pua yang berasal dari Sarawak.

"Inspirasi utama dalam rekaan tahun ini ialah tarian ngajat pua kumbu. Dari situ saya mengambil motif pucuk midin sebagai subjek.

"Selain itu, saya merasakan kekuatan saya adalah dari segi kombinasi teknik. Manakala, dari segi warna saya gunakan warna yang mengikut trend semasa," katanya.

Dengan kemenangan itu, Mohamad Shukri membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan piala iringan.

Artikel Berkaitan:

Manakala, tempat kedua kategori fesyen dimenangi kumpulan Hidden Wall yang terdiri daripada Nor Farhana Othman, Maizatul Azura Idris dan Suziyana Shaidin dengan tema Beauty Behind The Wall.

Mereka membawa pulang wang tunai RM10,000 dan piala.

Sementara tempat ketiga milik Wan Mohd Hafiz Wan Hamid dengan rekaan bertema Beauty Behind The Wall dan meraih RM5,000 serta piala.