Yapeim labur RM4 juta untuk B40, asnaf

Parihah (berdiri, tiga dari kanan) merakamkan gambar bersama sebahagian penerima sumbangan pada Program Foodbank 1.0 sempena Program Ziarah Kasih Rahmah di Masjid Kampung Panching, dekat sini hari ini.
Parihah (berdiri, tiga dari kanan) merakamkan gambar bersama sebahagian penerima sumbangan pada Program Foodbank 1.0 sempena Program Ziarah Kasih Rahmah di Masjid Kampung Panching, dekat sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) memperuntukkan RM4 juta bagi melaksanakan Program Foodbank 1.0 di seluruh negara dalam usaha membantu golongan memerlukan sepanjang tahun ini.

Pemangku Ketua Pengarahnya, Parihah Hasan berkata, program ini dilaksanakan bagi membantu meringankan beban isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), golongan asnaf dan juga pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang dikenal pasti.

Menurutnya, pendekatan yang dilakukan Yapeim dengan kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) melalui pengagihan bantuan itu sudah dimulakan pada Program Ziarah Kasih Rahmah di Kelantan baru-baru ini.

"Untuk bantuan melalui program ini dengan kerjasama dengan pihak YWM, kita mengagihkan bantuan dalam bentuk makanan yang sudah siap dan barangan keperluan asas.

"Bagi golongan B40 dan asnaf, kita santuni mereka dengan menyampaikan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan biskut yang sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka.

"Kriteria penerima juga kita peroleh dari pejabat ahli Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota, selain senarai diberikan oleh pemimpin setempat, wakil NGO (badan bukan kerajaan) dan senarai e-Kasih dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat)," katanya

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Program Foodbank 1.0 sempena Program Ziarah Kasih Rahmah di Masjid Kampung Panching dekat sini hari ini.

Pada program itu, kira-kira 600 ketua keluarga menerima sumbangan Yapeim dan YWM yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Abdul Halim Mad Yusuf.

Artikel Berkaitan:

Parihah berkata, pihaknya turut menyediakan peruntukan RM3,000 bagi kerja gotong-royong membersihkan dan memperbaiki kerosakan rumah penduduk di pekan Sungai Lembing pada program hari ini.

"Selain itu, kita turut mengadakan program gotong-royong di setiap lokasi persinggahan Program Ziarah Kasih Rahmah bagi mendekati penduduk setempat sekali gus mengetahui jenis bantuan yang mereka perlukan.

"Selain Masjid Kampung Panching, kita juga turut menyampaikan bantuan kepada kira-kira 100 penduduk di Masjid Kampung Padang, Jalan Sungai Lembing," katanya.

Mengulas mengenai program sama yang membabitkan pelajar IPT, Faridah berkata, ia akan dimulakan minggu depan dengan menumpukan kepada pelajar IPT di Lembah Klang terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

"Bagi pelajar IPT pula, kita akan edarkan pek makanan dan kita juga adakan keusahawanan bagi mendedahkan mereka dengan perniagaan," katanya