X

Kindly register in order to view this article
!

Tarif air: Xavier janji kenaikan tak membebankan

Xavier Jayakumar
A
A

KUALA LANGAT - Kadar baharu tarif air bagi semua negeri kemungkinan diumumkan hujung tahun ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, perkara itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk dibincangkan.

"Setelah Jemaah Menteri bersetuju dengan kadar baharu ini baru saya akan umumkan kenaikan bagi setiap negeri, kemungkinan pada hujung tahun ini, tetapi saya tidak boleh janji apa-apa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelepasan Larian Keamanan 2019 di Dataran Pantai Morib di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin.

Dr Xavier berkata, pihaknya akan memastikan peratusan kenaikan tarif air ituitu kelak tidak membebankan rakyat.

"Kita faham situasi rakyat, tetapi pada masa sama yang rakyat perlu faham bahawa industri air sudah lama tidak ada perubahan dan ia memerlukan modal operasi yang besar," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam negeri setuju naik kadar tarif air

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, Larian Keamanan 2019 seperti itu penting sebagai wadah untuk rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kaum untuk bersama-sama membina negara yang aman, damai dan sejahtera.

"Perkara ini penting terutamanya bagi anak muda kita kerana mereka lah yang akan tentukan masa depan negara dan saya berharap acara ini akan diteruskan di masa hadapan,” katanya.

Seramai 1,500 peserta menyertai larian berkenaan yang pertama kali diadakan di luar Klang sejak ia dianjurkan Persatuan Soka Gakkai Malaysia (SGM) pada 2005. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus