Kenapa penjawat awam jadi mangsa?

A
A
A

CADANGAN untuk menukar skim tetap dan berpencen kepada skim kontrak perkhidmatan awam mulai tahun hadapan telah mewujudkan perdebatan dan kerisauan. Kebanyakan penjawat awam merasakan seolah-olah perkhidmatan mereka kurang dihargai. Ada juga yang berpendapat bahawa tiada lagi jaminan untuk seseorang penjawat awam kekal dalam pekerjaan mereka.

Begitu juga wujud kerisauan sejauh mana dapat kita mengukur ketaatan dan komitmen penjawat awam jika mereka sekadar bekerja secara kontrak. Kenapa dan mengapa cadangan menukarkan skim tetap dan berpencen kepada kontrak ini ditimbulkan? Adakah selama ini penjawat awam tidak menunjukkan prestasi atau bertujuan untuk mengurangkan bebanan kerajaan kerana membayar pencen?

Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, masa depan generasi muda dan bakal pewaris negara untuk berkhidmat dengan kerajaan dalam konteks Government the Nation tidak lagi menjadi keutamaan. Ini kerana khidmat negara ini adalah sesuatu yang amat penting kepada tunggak sesebuah kerajaan dan utuhnya pentadbiran kerajaan dan negara.

Persoalannya, kenapa penjawat awam yang majoritinya Melayu, menjadi mangsa keadaan apabila dikatakan bayaran pencen menjadi bebanan kepada kerajaan? Tidakkah selama ini penjawat awam antara penyumbang utama dalam perkhidmatan dan pengurusan kerajaan yang juga melonjak kepada pembangunan ekonomi negara?

Langkah penjimatan boleh dilakukan dengan cara lain, seperti mengurangkan majlis dan keraian yang menelan belanja jutaan ringgit. Atau mengecil atau mengurangkan jawatan yang 'bertindan' dalam sektor awam, tetapi bukannya dengan menghapuskan skim pencen.

Semacam tiada lagi 'kelebihan' jika seorang itu bergelar penjawat awam. Usaha mengurangkan dan mengecilkan secara berfasa penjawat awam juga memerlukan alasan dan bukti yang kukuh. Jika benar usaha ini bertujuan untuk menawarkan gaji yang lebih menarik serta kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih baik, kenapa tidak dilaksanakan dengan skim yang sedia ada. Pihak kerajaan masih boleh memberikan tawaran yang lebih baik dan kompetitif, kenapa skim pencen pula yang dikorbankan?

Sedangkan graduan antara golongan yang paling ramai memohon menjadi penjawat awam. Kalau dahulu penjawat awam dianggap low class, sekarang ini menjadi pilihan terhangat apabila hampir 1.5 juta pemohon dalam kalangan graduan setiap tahun.

Ramai sedia maklum bahawa gaji yang ditawarkan kepada penjawat awam lebih rendah daripada swasta. Namun ramai yang lebih rela bekerja di sektor itu kerana ada jaminan, perlindungan dan pencen diperoleh apabila usia tua. Namun jika pencen tiada lagi ditawarkan, apakah keistimewaan seseorang yang bergelar penjawat awam?

Artikel Berkaitan:

Komitmen

Cadangan mewujudkan skim kontrak ini seolah-olah ingin menswastakan perkhidmatan awam pada masa akan datang. Perkhidmatan kerajaan berbeza dengan sektor swasta. Jika sektor swasta mengutamakan keuntungan dan jualan, manakala sektor awam lebih kepada penawaran perkhidmatan dan pengurusan.

Rata-rata penjawat awam akan kekal dan terus bekerja dalam sektor ini dan taat dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Berbanding dengan sektor swasta yang rata-ratanya bekerja secara kontrak, sering 'melompat' pekerjaan untuk mendapat tawaran pekerjaan dan gaji yang lebih menarik.

Sejauh mana pula komitmen dan kesetiaan penjawat awam jika keadaan ini berlaku pada masa akan datang? Adakah dengan persoalan tiada lagi skim pencen menyebabkan penjawat awam 'berubah angin' dan berbelah bahagi kesetiaan kepada kerajaan?

Perbincangan dan pemantapan mekanisme lantikan baharu dalam perkhidmatan awam perlu diadakan jika kerajaan terus berhasrat memansuhkan skim pencen. Skim lantikan kontrak baharu itu, yang kini sedang diperhalusi, dikatakan bakal menawarkan gaji yang lebih menarik serta kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih baik.

Tonggak kekuatan negara yang berpaksikan perkhidmatan awam perlu terus dipertahankan. Namun sekiranya kerajaan tidak lagi mengambil pekerja tetap dan berpencen apakah yang akan berlaku kepada kekuatan tunggak ini?

Pihak kerajaan perlu mendengar pandangan dan harapan penjawat awam serta membela kebajikan mereka. Skim pencen yang ada sekarang adalah terbaik kepada negara dan bertepatan dengan Perlembagaan.