X

Kindly register in order to view this article
!

Kunjungan Anwar ke Sabah memenuhi jemputan komuniti Bajau

Anwar menegaskan penggunaan konotasi perkauman tidak sihat dalam negara majmuk seperti Malaysia.
A
A

GEORGE TOWN - Kunjungan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kota Belud, Sabah pada 17 September ini sebagai memenuhi jemputan daripada komuniti Bajau di negeri itu, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Berikutan itu, beliau menolak spekulasi bahawa kunjungan Anwar bersama beberapa pemimpin parti itu ke Sabah untuk menghadiri majlis merekrut atau menerima anggota baharu PKR.

"Kita dijemput pada 17 September ke Kota Belud oleh komuniti Bajau. Kita tahu Sabah mempunyai pelbagai etnik berbeza, mereka menjemput Datuk Seri Anwar dan juga lain-lain pemimpin parti.

"Sebagai presiden parti dan sebagai seorang pemimpin Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar dijemput oleh pelbagai kalangan. Kali ini beliau menerima jemputan dari Sabah, bukan majlis penerimaan anggota (baharu) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak, di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan spekulasi yang tersebar luas mengenai bekas menteri Kabinet Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang dikatakan akan menyertai PKR.

Portal itu turut melaporkan Ketua Penerangan United Sabah National Organisation (USNO) Musli Oli sebagai berkata dua pemimpin itu adalah antara sebilangan pemimpin penting komuniti Bajau di Sabah yang akan mengambil langkah berkenaan.

Pada Disember tahun lepas, Salleh serta Pandikar Amin mengumumkan keluar dari UMNO dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas, dan mereka adalah antara sembilan

Ahli Dewan Undangan Negeri, empat Ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah yang bertindak meninggalkan parti itu. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!