Kerajaan bercadang guna pembelajaran secara rakaman: Mahathir

Dr Mahathir berucap di Sekolah Rendah Ritsumeikan sempena lawatan kerja ke Kyoto hari ini. -Foto Bernama
A
A

KYOTO - Kerajaan akan melihat kemungkinan menggunakan kaedah pembelajaran secara rakaman oleh guru yang terpilih untuk dikongsi dengan sekolah lain, kata Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, cara itu bertujuan antara lain bagi memudah dan mempertingkatkan kualiti pembelajaran di negara kita.

"Kita akan mencuba bagi memudahkan pengajaran kerana guru tidak sama... jadi apa yang kita hendak lakukan ialah menggunakan guru yang bagus, rekodkan cara pengajaran mereka dan gunakan mata pelajaran yang direkodkan itu untuk sekolah lain di mana guru akan membimbing pelajar (mengenai mata pelajaran itu)”, katanya semasa lawatan ke Sekolah Rendah Ritsumeikan di sini, hari ini.

Beliau berkata, cara itu bukan sahaja akan membantu mendidik pelajar malah memperbaiki pengetahuan guru yang membimbing itu.

"Pada masa yang sama guru juga akan belajar, dan kualiti pembelajaran boleh diperbaiki menggunakan sistem ini,” kata Dr Mahathir yang mengambil bahagian pada majlis minum teh Jepun secara tradisional semasa lawatan ke sekolah berkenaan.

Perdana Menteri juga meluangkan masa melihat teknologi robotik, maklumat dan komunikasi serta kelas membuat pasu.

Sekolah Rendah Ritsumeikan menjadi sekolah pertama di Jepun menggabungkan pendekatan tradisional dan moden dalam kaedah pembelajarannya.

Sekolah ini dibuka pada 2006 dan kini mempunyai lebih 700 pelajar, adalah juga sekolah perintis dalam pengenalan teknologi robotik dalam kurikulamnya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia