X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja kontrak maut kemalangan

A
A

DUNGUN - Seorang pekerja kontrak maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah motosikal lain dalam kejadian di Kilometer (KM) 17, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah di Ketengah Jaya, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa iaitu Nik Muhammad Asri Sakani Mohd Nor, 20, dari arah Paka telah merempuh bahagian belakang sebuah motosikal lain juga dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, akibat daripada rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang sebuah lagi motosikal yang berusia 35 tahun berserta pemboncengnya yang berusia 40 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki. Mereka dihantar ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya untuk mendapatkan rawatan.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang warga emas cedera ringan dalam kemalangan di KM 357 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran susur Tol Bukit Besi.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam, melibatkan sebuah lori yang membawa muatan ayam sejuk beku dengan sebuah kereta jenis Honda BRV.

Jelasnya, ketika kejadian pemandu lori berusia 24 tahun itu dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan dan apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai tayar hadapan lori sebelah kiri pecah.

“Lori itu terbabas ke sebelah kiri dan melanggar besi penghadang jalan lalu terbalik, dalam masa yang sama kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun di lorong sebelah kanan tidak sempat mengelak dan terlanggar lori yang telah terbalik.

“Kedua-dua pemandu tidak mengalami apa-apa kecederaan, hanya seorang penumpang kereta berusia 63 tahun, yang juga ibu mertua pemandu kereta itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah menerima lima jahitan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!