Tisu perut ganti tulang hidung

Syukri (tengah) bersama bapanya, Johan dan ibunya Samsiah di rumah mereka di Kampung Tanjung Piai, Serkat.
Syukri (tengah) bersama bapanya, Johan dan ibunya Samsiah di rumah mereka di Kampung Tanjung Piai, Serkat.
A
A
A

PONTIAN - Keadaan kesihatan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Durian, Mohd Syukri Johan yang menghidap kanser hidung bertambah baik selepas menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada April lalu.

Ibunya, Samsiah Sarip, 48, berkata, Syukri yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik tidak lagi mengerang kesakitan seperti sebelum ini kerana cukup sensitif dengan cahaya matahari.

Katanya, dia dan suami, Johan Zainal, 60, yang bekerja sebagai nelayan di Tanjung Piai berterima kasih kepada Baitulmal yang menanggung kos rawatan dan pembedahan mencecah RM18,000.

"Syukur pembedahan pada 4 April lepas berjalan lancar. Pembedahan melibatkan pembuangan tulang hidung yang kemudiannya diganti dengan tisu di bahagian perut.

"Selepas tiga hari dipantau di unit rawatan rapi (ICU), Syukri ditempatkan di wad selama seminggu sebelum dibenarkan pulang ke rumah kami di Tanjung Piai," katanya ketika ditemui semalam.

Samsiah berkongsi gambar Syukri selepas menjalani pembedahan membuang tulang hidung pada April lepas.
Samsiah berkongsi gambar Syukri selepas menjalani pembedahan membuang tulang hidung pada April lepas.

Samsiah berharap Syukri akan kembali aktif bermain dan belajar seperti rakan-rakan seusia di sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini Syukri kurang bercakap. Bila ditanya, Syukri akan jawab, itu pun ringkas saja.

"Mungkin disebabkan penyakit yang dialami ditambah dia kerap tak ke sekolah kerana sakit dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum ini," katanya.

Samsiah menambah Syukri masih perlu menjalani rawatan dan pemeriksaan mata berikutan keadaan bahagian mata hitam semakin mengering.

"Bulan depan, mata Syukri akan diperiksa. Pemeriksaan ini penting bagi melihat kemungkinan sekiranya terdapat kanser di bahagian mata.

"Sebagai ibu sememangnya kalau boleh jangan ada kanser di mata Syukri," katanya.

Adik Syukri yang menghidap penyakit kanser sejak dua tahun lalu mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil menghulurkan sumbangan.

Ini termasuklah Pasaraya Econsave yang membuat kutipan derma di pasar raya di Pontian yang kini berjaya mengumpul RM14,732.