Denda RM40,000 balasan buat resit rawatan kesuburan palsu

Mazuin (kiri) dibawa keluar oleh anggota SPRM bagi membayar denda selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan alternatif di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
Mazuin (kiri) dibawa keluar oleh anggota SPRM bagi membayar denda selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan alternatif di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Seorang pembantu tadbir dijatuhi hukuman denda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan membuat tuntutan palsu rawatan kesuburan antara 2015 hingga 2017.

Pengakuan bersalah Mazuin Zulkifli, 33, direkodkan yang di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib atas 10 pertuduhan alternatif membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM84,520 bagi rawatan kesuburan.

Wanita terbabit mengaku membuat dokumen palsu iaitu resit-resit berkaitan dengan rawatan kesuburan di Pusat Fertiliti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebanyak RM84,520.

Dokumen palsu yang dikemukakan oleh Mazuin telah menyebabkan prinsipalnya telah meluluskan pembayaran tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Perhutanan Negeri (bahagian pembangunan) di Bukit Sekilau antara 14 September 2015 hingga 7 September 2017.

Mazuin bersalah mengikut Seksyen 464 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 456 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar mewakili tertuduh berkata, pengakuan bersalah tertuduh telah menjimat masa mahkamah dan kes pendakwaan.

“Ini merupakan kesalahan pertama dan tertuduh telah insaf dengan kesalahan yang telah dilakukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, anak guamnya sudah menghantar surat kepada perbendaharaan negeri untuk membayar kembali tuntutan yang dibuat pada Ogos tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun tiada sebarang jawapan balas diterima oleh tertuduh.

“Ini sudah cukup membuktikan yang tertuduh sudah mengakui kesalahan dilakukan itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin meminta mahkamah menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.