Saya lebih rela mati dalam parit: PM Britain

Boris Johnson
Boris Johnson
A
A
A

ENGLAND - 'Saya lebih rela mati dalam parit daripada meminta Brussels menangguhkan lagi langkah Brexit'.

Kenyataan itu dikeluarkan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson semalam selepas pembangkang kini cuba mengemukakan rang undang-undang bagi menghalang negara itu keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) tanpa perjanjian pada 31 Oktober depan.

Beliau juga menuduh pemimpin pembangkang, Jeremy Corbyn yang memimpin Parti Buruh kerana cuba menghalang pilihan raya diadakan di negara itu.

"Kita mahu adakan pilihan raya pada 15 Oktober depan. Ayuh lakukannya," kata pemimpin Tory terbabit.

Kelmarin, Parti Buruh menolak cadangan Johnson untuk mengadakan pilihan raya, sekali gus kerajaan pemerintah yang dipimpin Parti Konservatif gagal memperoleh dua pertiga undi majoriti yang diperlukan.

Menurut Corbyn, beliau hanya akan mempertimbangkan pilihan raya apabila rang undang-undang menolak Brexit tanpa perjanjian termaktub dalam undang-undang.

Beliau yang ketika ini berdepan tentangan banyak pihak di Parlimen juga dikejutkan dengan keputusan pengunduran adiknya, Jo daripada dunia politik.

Sejak mengambil alih jawatan daripada pendahulunya, Theresa May pada Julai lalu, beliau cuba meraih sokongan Parti Konservatif yang secara terbuka menentang Brexit di sebalik strateginya untuk meninggalkan blok terbabit dengan atau tanpa perjanjian.

Artikel Berkaitan:

Selasa lalu, Johnson turut memecat 21 ahli Parlimen Konservatif yang berpaling tadah termasuk cucu bekas Perdana Menteri Winston Churchill dan dua bekas Menteri Kewangan.

Difahamkan, cadangan pilihan raya awal itu sekali lagi akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin ini selepas rang undang-undang menghalang Brexit tanpa perjanjian diluluskan.

Krisis Brexit yang berlarutan selama tiga tahun memberi kesan kepada hal ehwal EU selain menghancurkan reputasi Britain sebagai 'tiang stabil' di Barat.

Kebimbangan terhadap proses Brexit tanpa perjanjian juga mendorong nilai Pound melonjak 1.4 peratus lebih tinggi berbanding Dolar AS$1.2347 yang menyaksikan peningkatan tertinggi dalam tempoh enam bulan.

UBS Global Wealth Management memaklumkan Sterling boleh mencecah sehingga AS$1.30 jika Brexit ditangguhkan sehingga Januari 2010 dan pilihan raya awal diadakan selepas bulan Oktober. - Agensi