Serangan terhadap penyokong Malaysia tak boleh diterima

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

INSIDEN serangan dan provokasi terhadap penyokong Malaysia pada aksi perlawanan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi satu tindakan yang tidak boleh diterima.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sukan sepatutnya menjadi instrumen penyatuan dan bukan punca pergaduhan antara penyokong.

"Kejadian membaling batu ketika peminat bola sepak Malaysia tiba di stadium dan semasa perlawanan berlangsung hinggalah melarat selepas perlawanan adalah tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali.

"Saya berasa kesal apabila sukan bukan lagi instrumen penyatuan malah telah menjadi punca perpecahan, kemusnahan, pelbagai kemungkaran dan pergaduhan antara penyokong, rasuah dalam kalangan pegawai dan pemain serta banyak lagi perkara negatif," katanya menerusi muat naik Facebooknya, hari ini.

Menteri Besar Perak itu berkata, setiap perkara mesti dibendung dan pemain yang dikagumi peminat perlulah memainkan peranan agar kejadian yang mencemarkan semangat kesukanan tidak terus berulang.

Pihaknya turut mendoakan setiap penyokong Malaysia terpelihara keselamatan mereka dan dapat pulang ke tanah air dengan selamat.

Insiden serangan itu disahkan sendiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi entri di laman Twitter memaklumkan peminat Malaysia yang berada di stadium dibaling objek besi, botol dan suar, malah terdapat segelintir penyokong skuad Garuda cuba merempuh kawasan penyokong Malaysia.

Pada aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 itu, Malaysia menang 3-2 ke atas Indonesia.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq, penyokong Malaysia jadi mangsa provokasi