LZS taja pelajar sambung pengajian ke Jordan

Wakil LZS bersama-sama penerima bantuan derma siswa luar negara bergambar sebelum kumpulan terbabit berlepas ke Jordan malam tadi.
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan tajaan kepada 19 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu untuk menyambung pengajian di Jordan.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporatnya, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, kesemua pelajar itu merupakan penerima asnaf fisabilillah.

Menurutnya, seramai sembilan pelajar lelaki dan 10 wanita melanjutkan pengajian mereka dalam jurusan Pendidikan Islam selama empat tahun di empat universiti di negara itu.

"Seramai sembilan pelajar menyambung pengajian di Universiti Yarmouk dan enam pelajar di Universiti Al-Bayt.

"Manakala dua lagi pelajar di Universiti Jordan dan Universiti Mu’tah," katanya.

Beliau memberitahu, bantuan LZS meliputi yuran pengajian, wang sara hidup, tuntutan kitab, tiket pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian.

Katanya, selain memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM, mereka yang terpilih itu juga cemerlang dalam ujian bahasa dan temuduga yang dijalankan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Sehingga kini, LZS menyalurkan bantuan kepada 61 penuntut termasuk 19 penuntut terbabit yang sudah berlepas ke Jordan malam semalam," katanya.