Sekurang-kurangnya lima maut serangan bom Taliban di Kabul

Ahli keluarga melihat seorang mangsa menerima rawatan di Hospital Wazir Akbar Khan susulan serangan baharu Taliban di Kabul hari ini. - Foto AFP
Ahli keluarga melihat seorang mangsa menerima rawatan di Hospital Wazir Akbar Khan susulan serangan baharu Taliban di Kabul hari ini. - Foto AFP
A
A
A

KABUL - Sekurang-kurangnya lima terbunuh dalam insiden pengeboman baharu Taliban di Kabul hari ini, insiden berlaku di tengah-tengah rundingan Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan militan itu yang akan menyaksikan pengunduran tentera AS dari negara berkenaan.

Letupan dilaporkan berlaku di Shash Darak, sebuah kawasan dikawal ketat terletak bersebelahan Green Zone yang menempatkan beberapa kompleks penting termasuk Direktorat Keselamatan Negara (NDS) yang juga agensi perisikan Afghanistan.

Serangan waktu pagi itu berlaku berhampiran lokasi di mana Daesh melakukan serangan yang membunuh sembilan wartawan termasuk ketua jurugambar AFP, Shah Marai pada April tahun lalu.

Menurut Pengurus Besar Hospital Wazir Akbar Khan, Farid Ahmad Karimi, lima mayat dan 25 mangsa cedera di bawa ke fasiliti itu.

"Terdapat orang awam dan anggota keselamatan dalam kalangan mangsa maut dan cedera.Lima daripada yang cedera adalah wanita," kata Karimi.

Dalam pada itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata menerusi laman Twitter, kumpulan itu mengaku bertanggungjawab terhadap serangan pengebom berani mati yang meletupkan bom kereta.

Massoud Zazai, pemilik sebuah studio gambar yang terletak berhampiran lokasi insiden berkata, dia berada di dalam kedai ketika letupan berlaku.

"Saya keluar sejurus selepas serangan, kawasan tepi jalan dipenuhi serpihan dan tubuh bergelimpangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat sekurang-kurangnya lima mangsa cedera parah, salah seorang berlumuran darah dan tidak bergerak. Ia amat menakutkan," kata Zazai kepada AFP

Terdahulu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nasrat Rahimi berkata, satu letupan disebabkan bom kereta berlaku pada kira-kira jam 10:10 pagi (waktu tempatan).

Kabul dilanda siri serangan ganas walaupun selepas AS dan Taliban mencapai perjanjian 'secara dasar' yang akan menyaksikan Pentagon menarik balik kira-kira 5,000 daripada 13,000 anggota tentera dari lima pengkalan di seluruh Afghanistan menjelang tahun depan, dengan syarat Taliban mematuhi perjanjian keselamatan.

Isnin lalu, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam serangan Taliban yang menyasarkan kawasan kediaman di timur Kabul. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: 16 maut, lebih 100 cedera serangan Taliban di Kabul