Malaysia perlukan tujuh lagi ILC untuk bantu OKU

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya tujuh pusat pengurusan Independent Living Centre (ILC) bagi memenuhi keperluan lebih setengah juta golongan kurang upaya (OKU) berdaftar di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, ILC penting dalam memenuhi komponen yang diperlukan OKU termasuk perkhidmatan pembantu peribadi (PA), khidmat kehidupan berdikari, kaunseling, advokasi dan perkhidmatan sokongan.

"Dua ILC sedia ada terdapat di Bangi dan Petaling Jaya, mula beroperasi sejak awal bulan ini dengan peruntukan RM900,000 dan kami harap pada tahun hadapan lebih banyak ILC dapat diwujudkan di seluruh negara bagi membantu 549,000 OKU yang berdaftar.

"Melalui ILC itu, kami akan mula melatih pembantu peribadi dan juga OKU bagi membolehkan mereka lebih berdikari serta mampu keluar dan berada bersama-sama dengan masyarakat normal yang lain," katanya selepas menyampaikan sijil kepada peserta bengkel ‘Personal Assistant For Disabled Training’ di sini hari ini.

Hannah bekata, khidmat pembantu peribadi adalah projek rintis dengan kerjasama Malaysia Independent Living Association For Disable (MILAD) dan Jabatan Pembangunan OKU (JPOKU).

"Kumpulan pertama yang terdiri daripada 25 orang PA itu akan menjadi penanda aras kepada perluasan perkhidmatan kepada golongan memerlukan di samping menyedarkan ramai pihak betapa pentingnya perkhidmatan itu.

“Lebih menarik, mereka ini (PA) akan menerima elaun RM20 bagi setiap jam perkhidmatan yang diberikan. Bagi OKU yang mendapatkan perkhidmatan PA ini, mereka hanya perlu membayar RM5 bagi setiap jam perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, presiden MILAD, Esther Lim berkata, PA terpilih akan menjalani latihan selama 20 jam dikendalikan MILAD dan JPOKU sebelum dirujuk kepada OKU yang memerlukan perkhidmatan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Selepas latihan, kami akan padankan PA dengan OKU yang sesuai mengikut jantina dan jenis ketidakupayaan OKU memandangkan perkhidmatan ini memerlukan kekuatan tenaga yang bukan sedikit. Sebagai contoh, memindahkan OKU dari katil ke kerusi roda,” katanya.

Seorang peserta bengkel, Grace Wong, 26, berkata bengkel dan perkhidmatan PA sangat penting kerana masyarakat dapat memberi bantuan yang betul kepada golongan OKU.

"Kita tidak tahu apa yang akan terjadi dan mungkin ahli keluarga sendiri yang memerlukan perkhidmatan sebegini. Jadi, dengan menjadi PA dan mendapat ilmu yang betul, saya boleh membantu ramai orang.

"Saya juga percaya, inisiatif ini mampu memberi peluang pekerjaan baharu kepada ramai rakyat Malaysia yang berminat dalam bidang ini di samping menjadikan Malaysia sebagai negara mesra OKU," katanya. - Bernama