Bekas Peguam Negara Tokoh Maal Hijrah Melaka

Abu Talib (kanan) gembira dan terharu dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Melaka pada tahun ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Abu Talib, 81, membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan sebuah plak disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Abu Talib yang ditemui selepas majlis itu berkata, beliau terharu dan tidak menyangka tugasnya sebagai penjawat awam dan ahli-ahli perbadanan lain mendapat pengiktirafan kerajaan negeri.

Menurutnya, sebagai pegawai awam, seharusnya keadilan itu menjadi perkara utama dalam melaksanakan tugas dan dalam tempoh berkhidmat, beliau pernah mencipta kejayaan apabila berjaya menasihatkan kerajaan pada ketika itu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan khusus bahawa Mahkamah Sivil tiada kuasa mengendalikan perkara-perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Syukur dan terima kasih penghargaan ini dan terharu dengan penghormatan yang diberikan dan itulah kejayaan yang tidak dilupakan sekitar era 80-an.

"Cuma selama memegang jawatan itu, hasrat saya untuk melakukan penyelarasan undang-undang syariah di setiap negeri tidak tercapai," katanya.

Abu Talib yang berkhidmat selama 13 tahun sebagai Peguam Negara dan merupakan anak kelahiran Merlimau, Jasin masih memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji Malaysia.

Selain itu, beliau yang mempunyai sepasang cahaya mendapat pendidikan di Barrister At Law di Lincoln's Inn London pada 1962 dan kini menetap di Kuala Lumpur.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Menteri, Adly Zahari; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Omar Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hassan; Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia