Calon UPSR ditemukan mati tergantung

Mohd Yusuf
Mohd Yusuf
A
A
A

KULIM - Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ditemukan mati tergantung di atas katil dua tingkat di Taman Nenas semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, kanak-kanak lelaki itu tinggal bersama ibunya berusia 50 tahun dan dua lagi adik-beradik berusia 8 dan 14 tahun.

Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang hingga 7 petang itu, ibu mangsa berada di ruang tamu, manakala mangsa bermain bersama adik dan abangnya.

"Selang lebih kurang 15 minit, adik perempuan mangsa berumur 8 tahun datang memberitahu ibunya bahawa mangsa telah tergantung berhampiran katil.

"Apabila ibunya masuk ke dalam bilik itu, tali yang menjerut mangsa telah dipotong anak sulungnya, manakala si mati berada dalam keadaan terlentang di atas tilam," katanya.

Beliau berkata, pegawai perubatan Hospital Kulim telah dipanggil dan kemudian mengesahkan kematian mangsa.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati terdapat tali kasut berwarna putih berada di lantai katil tingkat atas dan si mati berada di katil bawah.

"Mangsa disyaki telah menggantungkan diri pada bahagian besi katil tingkat atas dengan menggunakan tali kasut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, tiada unsur jenayah dikesan pada badan si mati dan di tempat kejadian, namun motif tersebut masih dalam siasatan.

Mohd Yusuf berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat oleh Pakar Forensik Hospital Sultanah Bahiyah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.