Isu keselamatan pemain, penyokong diutamakan

Hamidin Mohd Amin. - Foto Bernama
Hamidin Mohd Amin. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola sepak Malaysia (FAM) sudah mengadakan rundingan selama dua kali bersama pihak Indonesia berkenaan isu keselamatan ketika perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta esok.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perkara tersebut menjadi keutamaan pihaknya selepas mengambil iktibar daripada beberapa insiden yang berlaku dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

"FAM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat dua kali mesyuarat pada bulan lepas sebelum perlawanan ini, kita juga telah buat persiapan rapi dengan Persatuan Bola sepak Indonesia (PSSI) untuk bekerjasama memastikan aksi ini berjalan dengan baik.

"Setakat ini PSSI dan pasukan polis mereka telah beri kerjasama yang baik dan kita harap perlawanan malam itu nanti dapat berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Perasmian Ibu Pejabat Kelab Bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), di sini hari ini.

Hamidin berkata, pihaknya juga sudah menerima jaminan daripada pasukan Polis Indonesia mengenai keselamatan pemain dan penyokong negara sepanjang mereka berada di stadium negara jiran berkenaan.

"Ya (sudah beri jaminan), kita juga sudah membuat persediaan daripada pihak pegawai keselamatan dan pegawai PDRM yang akan berada di sana," jelasnya.

Untuk rekod, perlawanan Malaysia-Indonesia yang berlangsung sebelum ini mencatat beberapa kenangan pahit tidak kira membabitkan pemain dan penyokong daripada negara jiran tersebut.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, insiden yang diingati dalam sejarah bola sepak negara adalah ketika final pertama Piala AFF Suzuki 2010 yang menyaksikan pemain Malaysia terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk ke stadium berkenaan.