Kubah masjid diterbangkan ribut

Kubah masjid mukim Gual Ipoh yang tercabut dalam kejadian ribut petang semalam.
Kubah masjid mukim Gual Ipoh yang tercabut dalam kejadian ribut petang semalam.
A
A
A

TANAH MERAH - Dua kubah masjid Mukim Gual Ipoh, Ulu Kusial di sini, tercabut akibat diterbangkan angin dalam kejadian ribut di sini lewat petang semalam.

Imam Tua masjid berkenaan Mohd Dalnia Mokhtar berkata, kejadian berlaku selepas solat asar dalam jam 5.15 petang.

"Selepas selesai solat asar di masjid saya terus pulang ke rumah dan hanya dikejutkan dengan kejadian itu selepas mengetahui kubah masjid diterbangkan hingga ke tengah jalan raya.

"Memang ketika kejadian angin sangat kuat disertai hujan yang lebat dan ia kemungkinan diterbangkan kepala ribut yang hampir menyebabkan seorang pemandu melanggar kubah masjid berkenaan namun mujur dia dapat mengelak," katanya.

Menurut Mohd Dalnia, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sehingga merosakkan sebahagian kawasan bangunan tambahan masjid termasuk bumbung bahagian tempat mengambil wuduk wanita.

Serpihan kubah yang tercabut hampir menyebabkan seorang pemandu terbabas.
Serpihan kubah yang tercabut hampir menyebabkan seorang pemandu terbabas.

"Kerugian dianggarkan bernilai RM50,000 berdasarkan kerosakan yang dialami dalam kejadian itu.

"Setakat ini masjid ini masih boleh digunakan, cuma yang rosak bahagian kubah dan tempat mengambil wuduk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Dalnia lagi, pihaknya kini sedang mendapatkan laporan lanjut untuk dihantar kepada Pegawai Jajahan Tanah Merah dan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Dalam kejadian petang semalam, dua kubah termasuk bumbung masjid berkenaan diterbangkan ribut.

Walau bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.