Pangkalan haram berdekatan lokasi tembakan, letupan bom sunyi sepi

Pangkalan haram di Lubuk Gong yang sunyi.
Pangkalan haram di Lubuk Gong yang sunyi.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Lebih 10 pangkalan haram di Sungai Golok berhampiran lokasi insiden tembakan dan letupan bom di Kuala Sira, Pasemas, Wilayah Narathiwat, Thailand, sunyi sepi tanpa sebarang pergerakan penduduk.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pangkalan haram sekitar Lubuk Gong, Tok Deh Barat hingga ke Tersang itu turut kelihatan kehadiran askar Thailand yang lengkap berpakaian seragam dan bersenjata api berkawal di tebing sungai di sebelah negara jiran.

Seorang pengemudi perahu penambang, Jasmin Hassan, 63, berkata, penduduk kampung patuh terhadap arahan pihak berkuasa Thailand yang menutup operasi jeti-jeti itu sepenuhnya susulan kejadian yang berlaku pada Isnin.

Jasmin menunjukkan perahu yang tidak beroperasi di Sungai Golok, Rantau Panjang.
Jasmin menunjukkan perahu yang tidak beroperasi di Sungai Golok, Rantau Panjang.

“Biasanya keadaan tidak sesunyi ini tetapi sejak arahan diberikan pada Selasa, penduduk tidak berani untuk berada di Sungai Golok walaupun duduk-duduk di atas parahu atau menyeberang ke Thailand.

“Pihak askar Thailand sememangnya tegas, jika mereka kata tidak boleh masuk, maka kami sendiri takut untuk melanggar arahan itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Lubuk Gong di sini pada Selasa.

Menurut Jasmin, selain dua anggota dilihat berkawal secara statik di pangkalan haram, askar juga melakukan rondaan menggunakan dua motosikal setiap dua hingga tiga jam, selain sekali-sekala kelihatan kehadiran kereta perisai mereka di tebing Sungai Golok, Thailand.

Sementara itu, anak Jasmin, Amirul, 33, pula berkata, dia mendapat maklumat penutupan pangkalan haram terbabit akan berakhir pada 3 Mei ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya berhubung dengan keluarga yang tinggal di Lubuk Gong sebelah Thailand memberitahu pihak tentera mengadakan kawalan ketat itu berkuat kuasa 30 April hingga 3 Mei ini.

“Namun pada 3 Mei nanti, semua perlu menunggu arahan seterusnya daripada askar Thailand dan buat masa ini memang tak boleh menyeberang ke Thailand," katanya.

Pihak tentera Thailand yang berkawal di Lubuk Gong di sebelah Thailand.
Pihak tentera Thailand yang berkawal di Lubuk Gong di sebelah Thailand.

Tambah Amirul, kawalan tentera Thailand lebih ketat berbanding beberapa insiden tembakan dan letupan lain yang berlaku di negara tersebut sebelum ini.

“Mungkin sebab kejadian terdahulu berlaku di lokasi yang lebih jauh dari Sungai Golok, namun kejadian terbaharu pada jam 1.30 pagi (waktu tempatan) itu memang terlalu hampir kira-kira 200 meter sahaja dengan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian yang turut meninjau di kawasan beli-belah Zon Bebas Cukai Rantau Panjang mendapati aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa.

Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.
Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

Seorang pengunjung, Sabri Mohamad, 55, berkata, orang ramai tidak bimbang untuk mengunjungi pekan itu bagi menjalankan urusan masing-masing kerana ia terletak jauh sedikit dari kawasan insiden.

“Sebelum ini, pun jika berlaku kejadian seumpamanya di Thailand, kawasan bebas cukai ini tidak terlibat dan memang beroperasi seperti biasa.

“Pangkalan yang ada di sekitar kawasan bandar Rantau Panjang seperti Pangkalan Haram MCA, Parking dan Pohon Buluh pula hanya dibuka oleh pihak Thailand pada jam 12 tengah hari hingga 3 petang serta 6 pagi hingga 9 pagi keesokannya manakala waktu-waktu lain ditutup,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!