Imam muda Masjid Al-Ikhlas meninggal dunia

Najwan (kanan) berkongsi foto bersama Allahyarham dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.
Najwan (kanan) berkongsi foto bersama Allahyarham dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemergian imam muda, Abdullah Azzam Fathulrahim, 31, merupakan satu kehilangan besar buat anak-anak kariah Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13 di sini.

Berita pemergian Abdullah Azzam dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi menerusi ciapan Twitternya.

Difahamkan, Allahyarham yang bertugas sebagai imam dan pengurus masjid berkenaan meninggal dunia di Hospital Shah Alam pada Khamis dipercayai akibat barah otak.

Najwan menyifatkan Allahyarham seorang yang baik, berdedikasi dalam menjalankan tugas sebagai pentadbir masjid.

"Mengenali arwah secara peribadi, pemergian beliau pastinya merupakan satu kehilangan dan amat dirasai bukan sahaja oleh saya bahkan oleh anak-anak kariah Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13.

"Takziah saya ucapkan kepada isteri serta ahli keluarga arwah. Semoga ALLAH SWT mengampuni segala dosa dan menempatkan arwah di kalangan orang-orang yang beriman dan bertakwa," katanya.

Dalam pada itu, bahagian pentadbiran Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13 memaklumkan, solat jenazah diadakan pada jam 10 pagi pada Jumaat seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

Sementara itu, menerusi perkongsian video oleh seorang pengguna Facebook memaparkan Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13 dipenuhi orang ramai yang turut serta pada solat jenazah sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.