Mahkamah Shah Alam terima panggilan bom

Unit K9 dan pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di Mahkamah Shah Alam selepas menerima panggilan ancaman bom.
Unit K9 dan pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di Mahkamah Shah Alam selepas menerima panggilan ancaman bom.
A
A
A
SHAH ALAM - Kompleks Mahkamah Shah Alam, di sini terpaksa dikosongkan selama tiga jam susulan panggilan ancaman bom di bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai ancaman bom berkenaan pada jam 9.40 pagi daripada seorang kakitangan mahkamah berkenaan.

Menurutnya, susulan itu, sepasukan anggota dan pegawai daripada Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 telah dikejarkan ke lokasi.

"Polis telah mengarahkan semua kakitangan mahkamah dan orang ramai yang berada di dalam bangunan mengosongkan bangunan itu.

"Kemudian, Unit Pemusnah Bom bersama Unit Pengesan Anjing (K9) telah membuat pemeriksaan di kawasan bangunan ruang legar mahkamah, namun tidak menemui sebarang objek yang berupa bom atau ancaman," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Artikel Berkaitan:


Tambahnya, bangunan kemudian telah disahkan selamat.

Katanya, semua kakitangan mahkamah telah dibenarkan masuk kira-kira jam 12.45 tengah hari. Tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang proses pemeriksaan dijalankan.

"Ini adalah kes ugutan jenayah dan kita klasifikasi kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.