Bunuh rakan kerana jirusan air minuman kucing

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Hanya kerana terkena air jirusan minuman kucing, seorang lelaki warga Bangladesh dibelasah dan ditikam sampai mati oleh teman serumahnya lelaki warga Indonesia di sebuah banglo di Jalan 1/19 di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.10 malam itu, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di depan sebuah rumah dalam keadaan berlumuran darah.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki dipukul di depan sebuah rumah.

Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia dipercayai akibat ditikam beberapa kali di belakang badan.

Hasil siasatan awal, mangsa dikatakan membela 12 ekor kucing dan kejadian berlaku ketika hendak memberi makan dan minum kepada haiwan peliharaan tersebut.

"Punca kejadian disebabkan mangsa yang dikenali sebagai Md Atas Ali menjiruskan air minuman kepada kucing namun terkena suspek.

"Insiden itu menyebabkan berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa," katanya.

Mohd Zani berkata, siasatan lanjut mendapati suspek dan mangsa mendiami sebuah banglo satu tingkat yang diubah suai menjadi bilik sewa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat empat bilik tidur yang turut turut disewa oleh beberapa warganegara asing lain.

Tambahnya, hasil temubual jiran berdekatan rumah terbabit dimiliki seorang wanita warga tempatan yang telah meninggal dunia dan tidak mengetahui siapa pewarisnya.

"Penghuni yang tinggal menyewa di bilik terbabit dikatakan membayar duit sewa kepada ibu suspek.

"Selepas kejadian suspek dikenali sebagai Hardianto dan ibunya,Asniyah Asrawi melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, semakan bagi mendapatkan nombor pasport suspek akan dibuat di Kedutaan Republik Indonesia.

Terdahulu beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat tompokan darah di bahagian hadapan bilik-bilik lain dipercayai kesan akibat pergaduhan mangsa dengan suspek.

Pasukan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor yang ke lokasi merampas 'swabing' darah, puntung rokok, sarung pisau, baju dan seluar serta menemui tiga cap jari.

Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan bedah siasat mayat mangsa dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 10 pagi ini.