Kita lebih Islam dalam kepercayaan

A
A
A

ISLAM wahyu daripada ALLAH sebagai agama rahmatan lil alamin.

Islam ialah agama wahyu. Maksudnya, semua ajarannya bersumber daripada ALLAH SWT yang menurunkannya kepada Rasulullah SAW melalui malaikat Jibril.

“Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: Bahawa sesungguhnya Ilah kamu itu adalah Ilah Yang Esa.” (Surah al-Kahfi: Ayat 110)

Dalam surah al-Anbiya, ayat 107, ALLAH SWT menyebut: “Kami tidak mengutuskan engkau, wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia.”

Dalam erti kata lain, ALLAH mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai satu bentuk rahmat dan kasih sayang daripada-Nya kepada umat manusia untuk menyampaikan wahyu ALLAH dan satu manual kehidupan serta contoh tauladan bagaimana hidup secara aman, damai dan sejahtera sebagai seorang insan dan juga sebagai ahli dalam masyarakat.

Tetapi sejauh manakah manusia khususnya orang Islam termasuk Melayu Islam di Malaysia berjaya menterjemahkan pegangan dan kepercayaan ini dalam kehidupan harian mereka?

Hakikatnya, Melayu Islam makin berpecah-belah dalam pemahaman dan amalan Islam serta kehidupan harian.

Sekurang-kurangnya tiga faktor dikaitkan sebagai punca:

Artikel Berkaitan:

Pertama, fahaman dan ajaran parti-parti politik yang masing-masing mendakwa mereka memperjuangkan Islam yang betul dan tulen. Mereka juga mendakwa bahawa tafsiran serta ajaran mereka sahaja yang betul.

Kedua, ajaran sesat yang dibawa tokoh-tokoh agama Islam seperti ulama, tok guru dan ustaz yang sebahagian daripada mereka menjadi pemimpin parti politik.Ketiga, Melayu Islam yang kurang berilmu, malas membaca dan akhirnya mempunyai pemikiran tidak kritis menyebabkan mereka lebih senang menerima apa saja yang disampai atau yang diajarkan kepada mereka.

Kehadiran tokoh-tokoh antarabangsa yang kontroversi seperti Dr Zakir Naik juga tidak membantu memulihkan keadaan. Malah, kenyataan-kenyataan kontroversi beliau termasuk mencampuri politik negara telah menimbulkan suasana yang tidak tenang antara kaum.

Merapat jurang perbezaan kepercayaan dan amalan

Tidak ada cara lain untuk kita hidup secara aman, damai dan sejahtera melainkan kita betul-betul kembali kepada ajaran agama kita khususnya sepertimana yang disebut dengan jelas dalam al-Quran dan contoh teladan oleh Nabi Muhamad SAW.

Malangnya wujud jurang yang besar di antara pemahaman agama dan amalan harian Melayu Islam di negara ini.

Tuhan suruh kita menggunakan akal fikiran untuk menilai dan menerima atau menolak satu-satu ajaran tetapi ramai di antara kita yang memilih untuk percaya bulat-bulat apa saja yang disampaikan kepada mereka, khususnya oleh para alim ulama.

Tuhan menyuruh kita untuk hanya takut kepada-Nya tetapi ramai di antara kita sanggup mengabdikan diri kepada sesama manusia khususnya kepada orang alim ulama dan pemimpin politik. Tuhan tidak membenarkan kita mengamalkan perkauman atau mentafsirkan agama dengan jumud tetapi para pemimpin agama dan politik kita sering mengajar untuk menyempitkan fahaman agama dan mengamalkan politik perkauman.

Kita semua tahu al-Quran dan sunnah dengan jelas serta nyata melarang amalan tersebut dalam kehidupan harian kita.

Tuhan berfirman: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya." (Surah al-Hujurat: 13)

Melayu Islam perlu membuat anjakan paradigma. Walaupun sudah banyak retorik dan seruan untuk membetulkan keadaan khususnya dalam amalan harian namun sampai hari ini, perubahan belum berlaku. Melayu Islam masih di tahap yang sama.

Kita perlu kembali kepada al-Quran yang mudah kita fahami dan sunnah yang senang kita amali. Yang menjurus keamanan, kedamaian dan kemakmuran.

Yang bersandarkan kepada moderasi dan kesederhanaan.