Penuntut UMK perlu kuasai tiga asas utama

Noor Azizi diiringi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Zaliman Sauli (kiri) beramah mesra dengan pelajar baharu selepas menyempurnakan Majlis Amanat Naib Canselor di sini hari ini. - Foto UMK
A
A

JELI - Sekurang-kurangnya tiga asas utama perlu dikuasai pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebelum mereka menamatkan pengajian di universiti awam berkenaan, kata Naib Canselornya, Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail.

Menurutnya, ketiga-tiganya melibatkan bahasa, teknologi maklumat dan kemanusiaan yang disifatkan antara elemen penting ketika ini dan di masa hadapan.

"Penguasaan terhadap bahasa terutama bahasa Inggeris perlu diberi perhatian serius selain meningkatkan penggunaan dalam bahasa Melayu.

"Sebagai nilai tambah, pelajar juga perlu menguasai bahasa lain sebagai bahasa ketiga kerana peranannya cukup besar dalam menentukan kemampuan untuk bersaing dengan mahasiswa lain di alam pekerjaan nanti," katanya sempena Majlis Amanat Naib Canselor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azizi berkata, pihaknya turut berharap semua pelajar yang mengikuti pengajian di universiti berkenaan menggunakan peluang sebaik mungkin bagi menguasai sepenuhnya bidang teknologi maklumat.

Menurutnya, teknologi merangkumi konsep yang sangat luas termasuk penggunaannya dalam bidang perniagaan dan sains, selain aspek kemanusiaan bagi memastikan persekitaran harmoni dapat diwujudkan antara satu sama lain.

"Hormat satu sama lain, kami tidak mahu pelajar hanya melakukan aktiviti dalam kelompok mereka sahaja, sebaliknya gunakan peluang yang ada untuk mempelajari budaya kaum lain," katanya.

Difahamkan seramai 2,603 pelajar baharu mendaftar untuk mengikuti 28 kursus pengajian ditawarkan di UMK melibatkan lapan fakulti pada 1 September lalu di Kampus Kota di Pengkalan Chepa, Kampus Bachok dan Kampus Jeli.