Raja Perlis terima kunjungan Duta Besar Norway

PYT Gunn mempersembahkan sebuah buku berjudul Svalbard Arctic Land kepada Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai cenderahati kenangan dalam kunjungan beliau semalam.
PYT Gunn mempersembahkan sebuah buku berjudul Svalbard Arctic Land kepada Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai cenderahati kenangan dalam kunjungan beliau semalam.
A
A
A

ARAU - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap hormat Duta Besar negara Norway ke Malaysia, PYT Gunn Jorid Roset di Balai Menghadap Biru Istana Arau malam semalam.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

PYT Gunn diiringi Timbalan beliau, Troels Bjerre Leming yang mengadakan lawatan kerja ke negeri Perlis selama dua hari bermula semalam.

Beliau turut mempersembahkan sebuah buku berjudul 'Svalbard Arctic Land' kepada baginda sebagai cendera kenangan di majlis tersebut.

PYT Gunn turut melahirkan rasa kagum dan terpesona dapat merasai sendiri ketenangan hidup tanpa hiruk pikuk kesibukan kota dan juga keindahan alam semula jadi.

Tambahan pula, sikap peramah rakyat di negeri ini jelas terlihat sepanjang lawatan sulung beliau ke sini.

PYT Gunn berkata, beliau juga akan cuba memperkenalkan negeri Perlis kepada syarikat-syarikat dari Norway yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia selepas ini.

Dalam program berasingan, beliau turut mengadakan kunjungan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Putra di Padang Katong, Kangar yang telah dinobatkan sebagai ‘Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan 2019’.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau hadir bagi menyampaikan syarahan umum berjudul Norway-Malaysia Bilateral Relations di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis di Arau.

Sebelum pulang ke ibu negara, PYT Gunn melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus induknya di Pauh Putra.

Untuk rekod, PYT berusia 45 tahun, sudah berkhidmat di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu dan pernah bertugas di pejabat Perwakilan negara Norway di Pretoria, Afrika Selatan dan juga Riga, Latvia sebelum ini.