Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia meneruskan peningkatan minggu lepas apabila dibuka tinggi sedikit hari ini, didorong oleh sokongan belian bagi saham-saham wajaran tinggi terpilih walaupun bursa tempatan itu menyaksikan petunjuk yang bercampur-campur susulan pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS)-China yang berkuat kuasa pada 1 September lepas.

Pada 9.16 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 0.12 mata kepada 1,612.26 selepas dibuka 0.64 mata lebih tinggi kepada 1,612.78 berbanding 1,612.14 sewaktu ditutup pada Jumaat lepas.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya, menjangkakan bursa tempatan akan menyaksikan aktiviti pengambilan untung yang pantas dan menjejaskan peningkatan Jumaat lepas di tengah-tengah sentimen pasaran yang lebih berhati-hati.

Perkembangan itu turut dikaitkan dengan kekurangan pemangkin berikutan berakhirnya musim pelaporan keputusan kewangan korporat yang kebanyakannya mencatat prestasi bercampur-campur dan aliran menyusut.

"Dalam tempoh memasuki awal bulan ini, kami berpendapat sikap berhati-hati itu akan kembali ketara selepas AS meneruskan hasratnya untuk menaikkan tarif ke atas barangan China yang mungkin melemahkan sentimen di Bursa Malaysia.

"Pada masa ini, kami menjangkakan paras sokongan sekitar 1,600 mata kekal bertahan. Ada juga sokongan interim pada tahap 1,610 yang kami fikir tidak dapat dipertahankan manakala paras rintangan pula sekitar 1,620 dan 1,626," katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank untung 3.0 sen kepada RM8.72, Public Bank naik 6.0 sen kepada RM20.38, Petronas Chemicals menokok 1.0 sen kepada RM6.94, IHH bertambah 4.0 sen kepada RM5.83 manakala TNB meraih 2.0 sen kepada RM13. 98.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 9.69 mata kepada 11,358.19, Indeks FBMT 100 naik 8.24 mata kepada 11,198.87 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 6.82 mata kepada 11,918.87.

Artikel Berkaitan:

FBM Ace sebaliknya susut 2.08 mata kepada 4,486.12 dan FBM 70 melonjak 41.25 mata kepada 13,985.86.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 27.40 mata kepada 15,577.42 dan Indeks Perladangan naik 16.62 mata kepada 6,906.10 manakala Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.28 mata kepada 148.40.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 170 berbanding 167 dengan 201 kaunter tidak berubah, 1,407 tidak diniagakan dan 21 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 236.07 juta unit bernilai RM108.45 juta.

Pasaran ditutup semalam bagi cuti ganti sempena Awal Muharam yang jatuh pada Ahad. - Bernama