Jenama tempatan perlu berani ke pentas global

KUALA LUMPUR - Usahawan tempatan perlu memperkukuh jaringan strategik bagi membuka peluang membawa produk serta perkhidmatan mereka ke pasaran global dalam persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif.
Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa berkata, produk berkualiti sahaja tidak menjamin kejayaan di pasaran antarabangsa tanpa hubungan perniagaan yang dapat menghubungkan pengusaha dengan bakal pembeli dan rakan strategik.
“Kadangkala barang kita bagus, tetapi untuk membawa barang kita ke peringkat global akan memakan masa dan memerlukan rangkaian,” katanya.
Justeru beliau menggesa agar usahawan berani keluar daripada zon selesa dan melihat peluang di luar pasaran sedia ada bagi meningkatkan potensi pertumbuhan perniagaan masing-masing.

“Jaringan perniagaan yang dibina melalui pertemuan strategik boleh menjadi permulaan kepada kerjasama lebih luas, termasuk usaha memperkenalkan produk tempatan kepada pasaran baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program KNKV Branding & Marketing War 2027 yang dirasmikan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah, di sini pada Rabu.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail serta Pengasas dan Rakan Pengurusan Nik Safia & Co, Safia Ahmad Jahidi.
Zurainah menambah, penjenamaan turut memainkan peranan penting kerana identiti dan nilai produk perlu difahami pelanggan sebelum sesuatu perniagaan dapat membina kedudukan yang kukuh dalam pasaran.
“Usahawan perlu memastikan strategi pemasaran yang digunakan selari dengan kelebihan produk serta kumpulan pelanggan yang ingin disasarkan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Profesor Adjung Adam Richman berkata, hubungan yang dibina semasa program jaringan perniagaan perlu diteruskan melalui tindakan susulan supaya berpotensi menghasilkan kerjasama komersial.
Malah pihaknya turut merancang menubuhkan KNKV Corporate Network menerusi komuniti WhatsApp bagi membolehkan peserta meneruskan komunikasi selepas program.
“Inisiatif ini bagi membuka ruang kepada peserta untuk berkongsi maklumat, mengenal pasti keperluan bersama dan meneroka peluang kerjasama yang bersesuaian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Safia berkata, usahawan yang merancang pengembangan pasaran perlu memastikan jenama mereka mendapat perlindungan undang-undang yang sewajarnya.
Beliau berkata, pendaftaran cap dagangan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) wajar dipertimbangkan, selain menetapkan syarat penggunaan jenama dalam perjanjian bersama rakan niaga.
Safia menjelaskan pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia akan memberikan perlindungan cap dagangan terhadap nama atau logo perniagaan.
KNKV Branding & Marketing War 2027 menghimpunkan pemain industri untuk membincangkan penjenamaan, pemasaran dan peluang pengembangan perniagaan, dengan kira-kira 400 peserta dipilih daripada hampir 1,000 pendaftaran.
Sempena program itu turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan KNKV Group sebagai rakan penganjur bersama dan rakan strategik World Marketing Summit Malaysia 2026 bersama Kotler Impact Asia dan Annems Leadership Solution.
KNKV turut mengumumkan pelantikan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman sebagai penasihat syariah KNKV.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
