Kebakaran Sungai Lembing: Balai bomba, naik taraf paip keperluan utama

Abu Bakar (tengah) pada sidang media di lokasi kebakaran hari ini.
Abu Bakar (tengah) pada sidang media di lokasi kebakaran hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Permintaan penduduk Sungai Lembing di sini untuk memperoleh sebuah balai bomba serta menaiktaraf sistem perpaipan akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, pihaknya memerlukan laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang mana akan dibawa ke pengetahuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Perdana Menteri sebelum diputuskan.

"Saya percaya kerajaan akan bantu sebaik mungkin malah saya membawa pesanan Tun untuk memaklumkan kepada semua jabatan kerajaan yang terlibat dalam kes kebakaran ini untuk bertindak segera.

"Jangan lengahkan dan pastikan rakyat mendapat bantuan kerajaan yang sewajarnya. Hari ini saya datang ke sini untuk melawat mangsa dan mendapatkan maklumat dari semua pihak yang terlibat untuk disampaikan kepada Tun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke lokasi kebakaran di Jalan Java, Kampung Sungai Lembing di sini semalam.

Ridzal
Ridzal

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Melayu Bandar Sungai Lembing, Ridzal Sukimi berkata, pihaknya bersyukur dan mengalu-alukan kedatangan Abu Bakar yang membuat lawatan dan tinjauan di lokasi kebakaran kampung tersebut.

"Berhubung permohonan balai bomba saya dimaklumkan bahawa permohonan itu sudah diluluskan beberapa hari lepas, iaitu sebelum kejadian kebakaran.

Artikel Berkaitan:

"Namun takdir ALLAH perkara ini berlaku dan kita ambil pengajaran daripadanya. Mungkin selepas ini segalanya dapat disegerakan," katanya kepada Sinar Harian.

Ridzal berkata, perumahan Java Street merupakan perumahan warisan malah bangunannya ada yang berusia lebih 100 tahun dan diperbuat daripada kayu.

"Sistem perpaipan di sini juga sudah melebihi usia 100 tahun. Penduduk berharap sistem perpaipan di kampung ini dapat dinaiktaraf kerana kita menghadapi masalah tekanan air hampir setiap hari.

"Pada hari hari biasa bermula jam 10 malam kadar tekanan air semakin rendah. Tidak dinafikan faktor penduduk dan kampung ini yang dikenali sebagai eko pelancongan dan menjadi kunjungan pelancong menyebabkan kadar penggunaan air semakin meningkat," katanya.

Abu Bakar diiringi Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Dan penyelamat JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani (tiga kiri) melawat lokasi kebakaran.
Abu Bakar diiringi Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Dan penyelamat JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani (tiga kiri) melawat lokasi kebakaran.

Justeru beliau berharap kerajaan memberikan perhatian kepada penaiktarafan perpaipan agar penduduk setempat dapat menikmati kemudahan air dengan selesa.

Kelmarin, 33 unit rumah termasuk sebuah perpustakaan yang terletak di Java Street, South Canton Street, North Canton Street, di Kampung Sungai Lembing di sini dilaporkan musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 pagi.