Skim Kafalah Mahabbah untuk pembayar zakat

Dr Abdul Rahman ketika melancarkan Skim Kafalah Mahabbah.
Dr Abdul Rahman ketika melancarkan Skim Kafalah Mahabbah.
A
A
A

KEPALA BATAS - Pembayar zakat di negeri ini yang membuat pembayaran melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan menerima faedah Skim Kafalah Mahabbah bermula pada tahun depan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, faedah berkenaan merupakan skim khairat kematian atau satu tabung sumbangan ikhlas yang akan diberikan kepada waris sekiranya pembayar zakat meninggal dunia.

Menurutnya, skim itu dilaksanakan sebagai usaha mempertingkatkan lagi jumlah pembayar zakat di negeri ini selain meringankan beban yang ditanggung oleh waris.

"Pulau Pinang adalah negeri kedua yang melaksanakan skim ini selepas Wilayah Persekutuan dan ia memberi tambah nilai serta faedah kepada golongan pembayar zakat.

"Sebagai permulaan, jumlah bantuan yang akan diterima mereka ialah sebanyak RM1,000," katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Skim Kafalah Mahabbah ZPP dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Pulau Pinang semalam.

Hadir melancarkan skim berkenaan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abbas.

Mengulas lanjut mengenai skim itu, Abdul Malik berkata, bantuan sama akan turut diberikan kepada asnaf yang menerima bantuan bulanan zakat.

Katanya, ia sebagai salah satu usaha meningkatkan ekonomi golongan itu di samping merupakan sumbangan dan bantuan tambahan selain skim bantuan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Perlaksanaan skim ini tidak melibatkan mana-mana syarikat takaful malah semua dana dan pengurusan skim diuruskan oleh ZPP yang mana satu unit khas akan ditubuhkan khusus untuk menguruskan tuntutan dan bayaran skim ini.

"Perjalanan skim ini akan dipantau oleh satu jawatankuasa khas di bawah pengawasan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP," katanya.