Peniaga jumpa mayat dalam longkang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui dalam sebuah longkang berhampiran kawasan Jalan Anggerik Mokara, Seksyen 31 sekitar jam 8.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima laporan daripada peniaga di Pasar Pagi Ahad berhampiran kawasan itu yang memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut setelah terhidu bau busuk di dalam longkang.

Beliau berkata menerusi pemeriksaan awal, mayat berkenaan ditemui dalam keadaan mengiring sebelah kanan dengan memakai baju-T berwarna biru gelap dan berseluar.

"Mayat berkenaan didapati tidak mempunyai tanda suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin) dan ditemui dalam longkang sedalam sembilan kaki oleh peniaga yang beroperasi di sini.

"Mereka terhidu bau busuk dan seterusnya membuat laporan polis apabila mendapati ada mayat di dalam longkang tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata menerusi pemeriksaan awal juga mendapati terdapat tiga kesan tikaman dipercayai menggunakan objek tajam pada perut mangsa yang dianggarkan berusia sekitar 30-an itu.

Katanya, mayat berkenaan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing K9 turut digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Malah mangsa terlibat juga dipercayai maut dalam tempoh 24 jam," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan buat masa ini bagi mengenalpasti identiti mangsa terlibat.

"Sehingga kini belum ada tangkapan dibuat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintenden Yong Meng Heng di talian 019-5753399 atau 03-55202222," katanya.