Jangan faraid aset GLC, GLIC

A
A
A

TIDAK ada negara di dunia yang kerajaannya tidak masuk campur dalam hal ehwal ekonomi hatta negara-negara yang mengakui mengamalkan ekonomi bebas.

Di negara kita, kerajaan sentiasa memainkan peranan dalam ekonomi bagi menjana pertumbuhan yang sihat dan membahagikan kekayaan negara secara lebih adil dan saksama.

Dalam konteks inilah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting membantu pertumbuhan ekonomi dan pengagihan kemakmuran.

Sejak PH mengambil alih kerajaan pada 9 Mei tahun lalu, ia telah melaksanakan beberapa dasar penting dalam pengurusan GLC dan GLIC.

Antaranya, tidak ada lagi orang politik dilantik menjadi pengerusi atau ahli lembaga pengarah. Ia hanya melantik orang profesional. Itu pun setelah melakukan tapisan rapi yang melibat aspek keselamatan, jenayah dan rasuah. Itulah antara janji PH.

Hanya Khazanah Nasional Berhad dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana itu terkandung dalam undang-undang tubuhnya.

Itu pun hanya untuk mempengerusikan mesyuarat lembaga. Pengurusan Khazanah bebas membuat keputusan. Malah saya mendapat tahu, baru-baru ini berlaku penjualan harta yang besar nilainya di Singapura yang dikatakan terjadi tanpa campur tangan kerajaan.

Sejak 15 bulan lalu, boleh dikatakan semua GLC dan GLIC telah mempunyai lembaga pengarah dan pengurusan kanan baru. Tugas GLC dan GLIC mengimbangkan penjanaan keuntungan dengan tanggungjawab sosial.

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna tanggungjawab lembaga pengarah dan pengurusan GLC serta GLIC lebih mencabar daripada rakan mereka dalam sektor swasta.

Oleh sebab itulah saya berasa bimbang melihat keghairahan sesetengah GLC dan GLIC membawa masuk atau cuba membawa masuk eksekutif swasta kononnya mereka hebat dan mencadangkan gaji serta imbuhan yang luar biasa tingginya.

Saya amat yakin banyak pengurus GLC dan GLIC boleh menandingi eksekutif swasta kalau tujuannya semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan.

Malah banyak eksekutif dan pengurus Bumiputera yang bekerja dengan syarikat swasta terbukti sama hebat atau lebih hebat daripada bukan Bumiputera.

Ambil contoh Jalil Rashid, 37 tahun, yang baru diumumkan sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB. Alumni London School of Economics (LSE) itu menguruskan tabung bernilai AS$14 bilion (kira-kira RM56 bilion) dalam tugas beliau sebagai pengurus Asia Selatan syarikat pengurusan pelaburan Invesco.

Saya mengenali orang muda kelahiran Pahang itu melalui seminar-seminar pelaburan antarabangsa yang saya sertai dan dimaklumkan bahawa beliau mengambil potongan gaji yang besar dengan menerima pelantikan PNB.

Jadi adalah tidak adil dan tidak masuk akal kalau ada GLC atau GLIC yang hendak mengambil eksekutif bukan Bumiputera daripada sektor swasta dan membayar gaji yang berkali-kali ganda lebih tinggi daripada yang dibayar kepada eksekutif Bumiputera.

Ini bercanggah dengan hasrat kerajaan baru yang mahu GLC dan GLIC mengurangkan jurang upahan antara pengurusan kanan dengan pengurusan rendah dan kakitangan biasa.

Malah dalam ucapan di persidangan pelaburan Invest Malaysia Mac lalu, Dr Mahathir telah menyarankan agar pengurusan GLC dan GLIC berkongsi keuntungan dan faedah secara lebih sama rata dengan semua lapisan kakitangan.

Yang saya amat bimbang ialah kemungkinan harimau korporat ini ada muslihat lain apabila masuk kandang kambing. Kita wajib tahu dan wajib ingat bahawa banyak GLC yang sama hebat atau lebih hebat daripada syarikat swasta.

Mereka ini tentunya menjadi idaman penyerang korporat (corporate raiders) tidak kira Bumiputera atau bukan Bumiputera. Malah sudah pun ada yang digoda oleh tauke bukan Bumiputera atas alasan menggabungkan modal dan kepakaran tetapi hasilnya tidaklah sebanyak mana.

Satu lagi kita wajib tahu dan ingat banyak GLC mempunyai aset yang sangat besar dan bernilai misalnya tanah ladang yang luas dan kontrak yang lumayan.

Kita boleh menimbangkan untuk menyimpang daripada norma ini hanya sekiranya kepentingan Bumiputera dan negara terjamin serta penggabungan mewujudkan syarikat global yang diuruskan oleh orang Malaysia dan berpangkalan di Malaysia.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara