Media perlu adil, bertanggungjawab: Chamil

 Dr Chamil Wariya
Dr Chamil Wariya
A
A
A

SHAH ALAM - Media di negara ini diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab dan memikirkan kesan kepada masyarakat setiap kali menulis berita atau artikel.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, kebebasan media diberikan oleh kerajaan perlu digunakan dengan berdisiplin serta tidak memainkan isu yang boleh mengapi-apikan sentimen kaum dan agama.

“Dalam mencari cerita, kita perlu mengimbanginya dengan etika kewartawanan. Apa yang dilaporkan perlulah adil dan saksama, apabila mengkritik sesuatu, kalangan yang dikritik perlu ada peluang untuk menjelaskannya.

“Jangan mengkritik semborono. Dengan cara ini, barulah kita dapat pupuk nilai kewartawanan yang bertanggungjawab kerana media berperanan mendidik khalayak dengan berhemah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang menggesa akhbar vernakular dan portal Malaysiakini supaya tidak ‘memanaskan’ isu yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

Mengulas mengenainya, Chamil berkata, pengamal media perlu memainkan peranan penting dalam memberi maklumat yang tepat dan cepat kepada masyarakat umum.

“Media mencerminkan apa yang berlaku dalam masyarakat dan menjadi tanggungjawab media untuk melaporkannya. Mereka tidak seharusnya terperangkap dengan gejala memapar dan menyiarkan maklumat yang diragui kesahihan dan kebenarannya hanya demi mencari pengaruh.

“Kita tidak mahu berita disensasikan atas maksud yang boleh menyemarakkan api kebencian antara kaum, sebaliknya merapatkan lagi jurang sesama kaum,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, media terutama portal berita juga diingatkan supaya tidak bertindak seperti mencurah minyak ke dalam api semata-mata mahu mendapat tempat dalam kalangan pembaca.

“Saya tak pasti sama ada mereka ini sengaja atau tidak tetapi portal-portal berita ini tengah mencari pengaruh dalam kalangan khalayak.

“Jadi untuk itu, mereka pamerkan kelainan yang kadang-kadang keterlaluan. Justeru saya ingatkan kepada semua media supaya jangan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.