Penghidap kanser payudara rayu bantuan

Laila Hayati bersama suami, ahli keluarga dan saudara-mara yang menziarahinya di kediamannya di Kampung Jerang Belanga, di sini.
Laila Hayati bersama suami, ahli keluarga dan saudara-mara yang menziarahinya di kediamannya di Kampung Jerang Belanga, di sini.
A
A
A

BAGAN TERAP - Seorang pesakit kanser payudara yang tidak lagi bekerja merayu bantuan syarikat korporat dan agensi kerajaan berkaitan bagi menampung kos sara hidup.

Laila Hayati Abdullah, 42, berkata, sebelum ini dia bekerja di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan RM1,300 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, dia yang disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada April lalu tiba-tiba tidak lagi berupaya untuk bekerja sejak dua bulan lalu.

"Sekarang ini saya hanya mampu terlantar sahaja di rumah disebabkan rasa sakit pada tulang pinggang.

"Malah, saya juga pernah ditahan di wad Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam selama tiga hari," katanya.

Laila Hayati yang menetap di Kampung Jerang Belanga di sini, memberitahu, dia tidak mempunyai zuriat kini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suaminya, Azman Sahadi, 47, yang bekerja mengambil upah mengait buah sawit.

"Purata pendapatan suami pula hanya sekitar RM300 sebulan, malah dia (Azman) menanggung tiga anaknya yang masih bersekolah hasil perkahwinan terdahulu," katanya.

Katanya, dia terpaksa membelanjakan kira-kira RM45 untuk membeli ubat cuci luka di farmasi pada setiap minggu.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini, saya masih berdaya bergerak ke tandas dengan bantuan suami.

"Tak tahulah kalau kudrat saya tak lagi mampu hingga terpaksa bergantung pada lampin pakai buang yang meningkatkan lagi kos perbelanjaan," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian merujuk perkara itu kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang akan memberi maklum balas dalam waktu terdekat.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubunginya di talian 011-35671376 atau 013-2915166.