Polis Lahad Datu tembak mati suspek kes samun, pecah rumah

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia berusia 28 tahun mati ditembak sepasukan polis selepas disyaki cuba memecah masuk sebuah rumah dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata suspek ditembak mati ketika cuba menyerang seorang anggota polis dalam Operasi Rantau yang diketuai Nasri di Palm Height dekat sini kira-kira pukul 3.40 pagi tadi.

"Suspek dipercayai cuba memecah masuk dan melakukan samun di sebuah rumah ketika berpenghuni.

"Pasukan polis yang membuat rondaan di taman perumahan itu sempena ambang Merdeka telah bertembung dengan suspek, yang berpakaian gelap, bertopeng dan memegang sebilah pedang, di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran taman perumahan berkenaan dan bertindak mengejar suspek apabila enggan menyerah diri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nasri berkata apabila berjaya didekati oleh seorang anggota polis, suspek bertindak agresif dengan melibas-libas pedangnya ke arah anggota polis berkenaan, yang bertindak melepaskan tembakan ke arah dada suspek bagi mempertahankan diri.

"Suspek disahkan mati di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Lahad Datu," tambahnya.

Selain menemui pedang berukuran kira-kira 29 inci dan topeng, Nasri berkata tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada suspek, namun pengecaman muka mendapati suspek dikenali sebagai Mohd Rahmat dan pernah disabitkan kesalahan memasuki negara secara tidak sah pada 2017.

Beliau berkata suspek telah dihukum enam bulan penjara dan tiga sebatan oleh mahkamah dan diperintahkan pulang ke negara asalnya.

Artikel Berkaitan:

"Namun, suspek dipercayai memasuki Malaysia semula secara tidak sah," katanya.

Nasri berkata dengan tertumpasnya suspek itu, polis Lahad Datu telah berjaya menyelesaikan sebanyak 13 kes samun dan pecah rumah yang dilakukan secara bersendirian oleh suspek.

Beliau turut meminta ahli keluarga suspek tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk pengecaman suspek dan membantu melengkapkan siasatan. - Bernama